Memaparkan catatan dengan label sejarah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sejarah. Papar semua catatan

Khamis, 8 Disember 2011

MOYANG SALLEH-UNDANG LUAK JELEBU

Beberapa kubur lama di persekitaran Makam Moyang Salleh

Papan tanda Makam Moyang salleh

Makam Moyang Salleh- Undang Luak Jelebu
 Sumber gambar dari:http://ontahsapo.blogspot.com/2007/06/makam-moyang-salleh-jelebu.html


<><> <><> <><> <><> <><>
makammoyangsaleh.jpg
Ini bukanlah keris Dato Moyang Salleh sebaliknya hanyalah gambar hiasan sahaja


Moyang Salleh ialah Dato' Penghulu ketiga bagi Luak Jelebu dan juga pengasas institusi Undang Luak di N9. Pada tahun 1725 beliau telah membebaskan Jelebu daripada kekuasaan Johor dan perisitwa ini dikenali sebagai "MEMUTUSKAN TALI KE JOHOR". Kerana kehandalan beliau dan 4 rakan yang lain (mengunakan kuasa mistiknya) beliau telah membebaskan Jelebu dari cengkaman Johor dan Sultan Johor telah mengisytiharkan beliau sebagai Raja di darat......dan mendapat gelaran Dato' Mendika Menteri Akhir Zaman.........
Bagaimana beliau dapat memutuskan tali dengan Johor?......Dahulukala N9(Minang) dikuasai orang Johor (Riau), akan tetapi diabad ke 17 kerajaan Johor Riau telah lemah dan kuasa Britih telah mengambil alih pentabiraannya dan menyebabkan ketegangan di kedua belah pihak dan akhir dari ketegangan tersebut terjadilah satu pembunuhaan dimana Penghulu Rembau telah dibunuh kerana telah menolak peminangan Sultan Johor. Orang Rembau telah meminta jasa baik Moyong untuk pergi berbincang dengan Sultan..Pergilah Moyong bersama 4 orang hulubalanya....Akan tetapi kedatangan beliau tidak disambut baik bahkan dihina. Sultan tidak membenarkan moyong masuk keistananya kerana merasakan beliau tidak setaraf dengannya.....akhirnya moyang membuat satu pertunjukkan dimana seluruh bumi jajahan johor ditimpa hujan tanpa berhenti selama 7 hari 7 malam....akan tetapi yang peliknya mereka berlima tidak ditimpa hujan walaupun setitik....akhirnya sultan meminta moyong masuk tetapi hanya dilandai istana sahaja dan sultan masih tidak mahu bertemu dngny...sekali lagi moyong dihina, akhirnya 5 sekawan ini menunjukan kehebatan mereka.....ada menjadi tinggi dan mengoyangkan pokok kelapa seperti meriam membedil keistana, ada yang membuat angin ribut dikeliling istana dan ada yang mengeluarkan api dari mulut....... akhirnya baginda beralah dan membebaskan negeri disebelah darat (N9) dari kekuasaan Johor dan ini telah menyebabkan Britih tidak dapat menguasai N9, Pahang, Terengganu dan Kelantan.....
Itulah besarnya jasa Dato Moyang Salleh bukan sahaja bagi warga N9 bahkan untuk negeri disebelah timur tanah air.........menyekat/melambatkan kemasukaan penjajah di sebelah darat ini.....akan tetapi jasa beliau tidak lagi dikenang, bahkan kalau ke jelebu ( orang jelebu) tanya siapa moyong salleh pasti ada yang ternganga.
CATATAN TENTANG MOYANG SALLEH OLEH PERSATUAN SEJARAH JELEBU

DATO' MOYANG SALLEH MEMUTUS TALI KE JOHOR
Pada suatu ketika dahulu, daerah Jelebu di Negeri Sembilan berada di bawah pemerintahan Sultan Johor. Kononnya baginda seorang yang zalim dan tingkah laku  baginda tidak disenangi oleh Datok Penghulu Jelebu.
Datok Uban iaitu Penghulu Rembau mempunyai seorang anak gadis yang cantik  bernama Seri Banun. Bila Sultan Johor mendapat tahu kecantikan gadis itu maka  baginda menghantar utusan tapi pinangan baginda ditolak sebab Seri Banun sudah  bertunang dengan seorang pemuda bernama Si Amat.
Sultan Johor murka lalu memerintahkan Datok Penghulu Rembau datang mengadap  tetapi beliau enggan sebaliknya menyuruh Si Amat iaitu tunang Seri Banun ke Johor  sebagai pengganti. Baginda Sultan merasa terhina lalu bertanya kepada Si Amat  kenapa hasrat baginda hendak mengahwini Seri Banun di tolak.

 " Ampun, Tuanku. Seri Banun itu tunang patik," sembah Si Ahmad.
" Putuskan pertunangan kamu!" titah sultan.
" Ampun Tuanku," sembah Si Amat. " Patik tidak sanggup mungkir janji sebab sekali  kita mungkir janji seumur hidup orang tidak akan percaya."

Baginda bertambah murka lalu memerintahkan Si Amat di bunuh. Pengawal istana   segera menghayunkan pedangnya ke leher Si Amat tetapi senjata itu tidak melukainya  kerana Si Amat memiliki ilmu kebal.

 " Tuanku," kata Si Amat." Patik ini anak pembesar. Mengikut adat anak pembesar tidak
boleh dibunuh. Tetapi kalau tuanku nak bunuh juga maka gunakan keris patik dan  tikamkan ke rusuk sebelah kiri patik."

 Mendengar itu lalu Sultan mencabut keris Si Amat lalu menikam rusuknya dan dengan  sekali tikaman saja maka Si Amat pun mati. Datok Penghulu Rembau merasa amat  sedih dengan kematian Si Amat akibat di bunuh oleh Sultan JOhor. Maka beliau pun mengadukan hal tersebut kepada Moyang Salleh Datok Penghulu Jelebu.  Moyang Salleh turut merasa simpati dengan kematian Si Amat dan beliau bersetuju  mengadap sultan Johor untuk bertanya kenapa oembunuhan itu dilakukan oleh  baginda.

Maka Moyang Salleh pun bertolak ke JOhor dengan membawa empat orang  pengiringnya iaitu Tok Gagah Lela Perkasa, Tok Laut Api, Tok Beruang Hitam, dan Tok  Bauk. Dan mereka mempunyai kegagahan dan kesaktian masing­masing.  Apabila sampai di Johor baginda Sultan tidak menerima mereka mengadap malah  disuruh berdiri di halaman istana sahaja. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati Moyang  Salleh dan pengiringnya tambahan pula beliau pembesar tanah jajahan sultan.
Tiba­tiba langit gelap menandakan hujan lebat akan turun. Sultan yang duduk di  anjung istana bersama pengiring hanya memerhatikan sahaja tanpa mempelawa naik  ke istana. Baginda seolah sengaja hendak membiarkan utusan dari tanah jajahan itu  basah kuyup di halaman istana.

Apabila hujan turun maka Moyang Salleh membuka destarnya lalu melambungkan ke  atas dan tiba­tiba destar itu bertukar menjadi payung. Dengan ini mereka berlima tidak  basah.  Kemudian pengiring ­pengiring Datok Moyang Salleh pula menunjukkan kehebatan  masing ­masing. Datok Gagah Lela Perkasa menggarukan belakangnya pada batang  kelapa yang tumbuh di halaman istana menyebabkan buah­ buah kelapa yang masak  berguguran jatuh ke tanah.  Tok Beruang Hitam pula menunjukkan kekuatan tangannya dengan mencakar dinding  istana hingga tercabut. Manakala Tok Laut Api pula bila menghembuskan nafasnya  keluar api hampir membakar langsir istana.  Sultan Johor merasa hairan melihat kejadian itu sekaligus merasa tercabar seolah  Moyang Salleh dan para pengiringnya sengaja hendak menunjuk kehandalan di depan  baginda.

 " Beta mahu kamu tunjukkan pula kehandalan kamu kepada mereka," titah Sultan  kepada pembesar istana.
" Ampun Tuanku," sembah Datok Bendahara. " Setahu patik tidak ada sesiapa di  negeri Johor ini mempunyai ilmu setanding dengan mereka."

Sultan terdiam sambil berfikir. " Kalau bagitu benarkan meraka mengadap." titah  baginda.

Datok Bendahara menjemput Moyang Salleh dan para pengiringnya naik ke istana  mengadap Sultan tetapi mereka mengenakan syarat mesti disediakan jamuan kerana  mereka merasa amat lapar.

" Sediakan nasi lima puluh gantang dan lauknya seekor kerbau," kata Moyang Salleh.

 " Makanan sebanyak itu biasanya untuk seratus orang," kata Datok Bendahara hairan.

 " Jika baginda setuju kami akan naik ke istana tapi jika tidak setuju biarkan kami di sini
sahaja," kata Moyang Salleh pula.

Mahu tidak mahu Sultan terpaksa menerima syarat itu kerana bimbang utusan dari  Jelebu itu bertindak liar. Dan apabila jamuan sudah disediakan makan Moyang Salleh   dan para pengiringnya naik ke istana.  Sekali lagi Sultan Johor dan pembesar-­pembesar istana hairan bila mendapati
makanan yang mereka hidangkan habis di makan oleh Moyang Salleh dan para  pengiringnya.

 " Benarkan mereka mengadap beta kemudian suruh balik segera ke Jelebu," titah  Sultan Johor.

 " Beginikah cara tuanku melayan pembesar tanah jajahan?" tanya Moyang Salleh  sebaik sahaja mengadap Sultan.

 " Apa maksud kalian datang ke Johor tanpa diundang?" tanya Sultan pula.

Oleh kerana terlalu marah dan merasa terhina dengan sikap Sultan maka Moyang  Salleh lupa tujuan asalnya datang ke Johor. Apa yang terlintas dalam fikirannya ialah  tidak mahu bertuankan Sultan yang tidak betimbang rasa.

 " Patik datang untuk memutuskan tali dengan Johor. Mulai hari ini Jelebu merdeka dari  pemerintahan tuanku," kata Moyang Salleh.


 " Beta tak setuju!" titah Sultan.
" Alamat negeri Johor akan huru hara kami kerjakan. Akan berlaku pertumpahan darah
di bumi Johor ini," kata Moyang Salleh pula.

 Kerana bimbang dengan tindak balas Moyang Salleh dan para pengiringnya akhirnya  Sultan Johor bersetuju walaupun berat hati baginda melepaskan Jelebu keluar dari  tanah jajahan baginda.
Baginda menganugerahkan Moyang Salleh cap mohor sebagai pemerintah " Bergajah
Tunggal" dengan membawa gelaran Datuk Mendalika Akhir Zaman Sultan Jelebu.

Kemudian baginda Sultan menyuruh Datok Moyang Salleh dan para pengiringnya  meninggalkan Johor dengan segera. Semasa turun dari istana Datok Moyang Salleh  mencabut pedangnya lalu dicantasnya tempayan yang terletak di tepi tangga balairong.  Kerana tajamnya mata pedang Datok MOyang Salleh dan tetakannya yang kuat maka  tempayan itu putus dua, tetapi masih tegak seperti biasa seolah tidak nampak bekas  cantasan mata pedang pada tempayan itu.

 " Selagi tempayan ini putus maka selagi itulah hubungan antara Jelebu dengan Johor
akan putus," kata Datok Moyang Salleh lalu meninggalkan istana Sultan Johor.

MASJID KUALA DULANG JELEBU

Masjid Kuala Dulang suatu masa dahulu

Masjid Kuala Dulang sekarang
Misteri: Dulang aneh sentiasa ada makanan
Oleh Hussain Said

Tempat saji makanan ghaib sejak 300 tahun lalu selepas terhempas sehingga pecah ketika satu majlis jamuan di Masjid Kuala Dulang.


KAMPUNG Peninjau yang terletak kira-kira lima kilometer dari Kuala Klawang, Negeri Sembilan, nyata tidak jauh berbeza dengan suasana kampung lain di negara ini.

Malah, kampung yang mempunyai bilangan penduduk seramai 400 orang, berjiran dengan Kampung Ulu Jelebu, Kampung Bukit, Jelebu Tengah itu, juga tidak ketinggalan mempunyai kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan jalan berturap.

Kedudukannya terletak berdekatan pekan Kuala Klawang juga memudahkan penduduk yang kebanyakan mereka menyara kehidupan dengan menoreh getah, menyelesaikan urusan harian masing-masing dengan mudah.

Istimewanya kampung yang dikepung oleh dua bukit iaitu Bukit Air di kanan dan Bukit Peninjau di kiri ialah wujudnya sebuah masjid tertua di daerah Jelebu.

Masjid itu diasaskan oleh Datuk Nika dan Mudim Khatib Raja, pendakwah dari Minangkabau pada awal abad ke-16, yang juga menandakan kedatangan awal Islam ke daerah berkenaan

Kedua-duanya dikatakan meneroka perkampungan itu yang kemudian dinamakan Kampung Peninjau dan masjid itu pula pada asalnya sebuah bangsal beratap ijuk yang menjadi tempat pendakwah itu beribadat.

Istimewanya, pembinaan dan struktur asal masjid itu ialah tidak menggunakan paku sebaliknya dipasak.

Masjid Kuala Dulang mendapat namanya dipercayai daripada satu peristiwa yang berlaku di masjid berkenaan apabila ada sebuah dulang aneh yang sentiasa berisi makanan untuk semua jemaah.

Siapa menyediakan dulang berisi makanan berkenaan tidak diketahui dan peristiwa itu berterusan sehinggalah dulang aneh itu ghaib secara tiba-tiba. Malah, mitos mengenainya masih diperkatakan sehingga sekarang.

Siak masjid berkenaan, Abdul Aziz Samah, 71, mengakui cerita mengenai dulang itu dikatakan benar-benar berlaku menerusi beberapa versi cerita disampaikan beberapa penduduk awal yang menduduki kawasan berkenaan.

Dia yang mula menduduki kampung berkenaan pada 1953 dan sudah berkhidmat sebagai siak di masjid itu sejak 15 tahun lalu berkata, mengikut cerita, dulang aneh itu wujud ketika jemaah selesai menunaikan sembahyang zuhur ketika masjid itu mula dibuka.

"Selesai berjemaah, dikatakan ada di kalangan jemaah yang menyatakan lapar sebelum tiba-tiba mereka ternampak sebuah dulang di atas busut besar terletak di tengah-tengah sawah berdekatan masjid dan di tepi busut itu pula ada pusar air.

"Seorang jemaah yang pergi mendapatkan dulang itu mendapati ia berisi makanan yang lengkap dengan nasi serta gulai dan selepas kejadian itu, setiap kali selepas waktu zuhur dulang itu sentiasa berisi makanan yang dinikmati jemaah.

"Apa yang menarik, walaupun seberapa ramai jemaah yang datang bersembahyang, makanan yang terdapat dalam dulang itu sentiasa mencukupi. Namun, tiada yang tahu siapa menyediakan makanan itu," katanya.

Katanya, beliau juga pernah mendengar cerita dulang yang berisi makanan itu bukan saja disediakan selepas zuhur malah musafir yang singgah beribadat di masjid berkenaan turut merasai makanan dalam dulang berkenaan apabila mereka memintanya.

"Bagaimanapun, dulang makanan itu dikatakan ghaib sejak 300 tahun lalu selepas seorang jemaah tidak memegangnya dengan betul lalu terhempas dan pecah ketika satu majlis jamuan diadakan.

"Sejak itu, tiada lagi dulang yang berisi makanan untuk dinikmati jemaah sebaik selesai mengerjakan sembahyang zuhur. Namun, cerita mengenai dulang aneh itu masih diperkatakan hingga sekarang," katanya.

Abdul Aziz berkata, sebenarnya cerita mengenai dulang aneh itu sudah banyak diperkatakan hingga dilaporkan dalam media cetak dan elektronik, menyebabkan ramai orang luar datang beribadat di masjid berkenaan.

"Bukan saja penduduk tempatan malah orang luar dari Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang juga datang beribadat di masjid ini termasuk menunaikan solat hajat untuk mendapat petunjuk terutama dalam soal mencari jodoh dan menyelesaikan masalah dihadapi, katanya.

Beliau berkata, lima tahun lalu seorang wanita dari Pulau Pinang yang menghadapi masalah untuk melupakan teman lelakinya yang sudah beristeri selepas berkenalan selama dua tahun datang bernazar di masjid berkenaan.

Selepas itu wanita berusia 37 tahun itu mampu melupakannya. Saya ada dihubungi wanita terbabit selepas dua tahun dia datang ke sini dan menyatakan dapat melupakan lelaki terbabit, katanya.

Ditanya mengenai perkara pelik lain yang pernah diceritakan di masjid berkenaan, beliau berkata, pernah berlaku dua kali banjir besar di kampung berkenaan iaitu sebelum merdeka dan pada 1970 tetapi masjid berkenaan tidak ditenggelami air.

"Ramai penduduk yang hairan dengan keajaiban itu kerana masjid berkenaan terletak di tepi tebing sungai sedangkan semua rumah penduduk ditenggelami air hingga paras pinggang.

"Berdasarkan orang alim dan ulama yang pernah mendengar keajaiban itu, mereka dapat melihat pelampung di bawah masjid berkenaan dan apabila banjir, pelampung itu akan menolaknya ke atas bagi mengelakkannya tenggelam," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klawang, Jalaluddin Alias, berkata pihaknya tidak menghalang sesiapa termasuk orang luar datang beribadat di masjid berkenaan.

"Kita akui cerita lama yang diperkatakan mengenai keistimewaan masjid berkenaan hingga menyebabkan ramai orang datang termasuk dari luar negeri ini yang singgah dan bermusafir di masjid ini.

"Setakat ini, tidak ada pihak yang tidak bertanggungjawab menjalankan aktiviti berbentuk khurafat di masjid dan kawasan sekitarnya, sebaliknya kebanyakan yang datang hanya untuk beribadat," katanya.

Katanya, walaupun sudah tiga kali pengubahsuaian dijalankan hingga membolehkan masjid itu kini menampung 400 jemaah, struktur dan identitinya asalnya masih dikekalkan bagi menjadikannya sebagai tempat bersejarah.

"Tiang masjid berkenaan masih tiang asal dan kita juga mengekalkan tabuh yang diperbuat daripada kayu hutan dan kulit lembu untuk diketuk bagi memberitahu, masuk waktu sembahyang.

"Usia peralatan tabuh itu dikatakan sama dengan usia masjid. Tabuh berkenaan dibuat pada abad ke-16 ketika masjid berkenaan dibina," katanya

Sumber dari:http://dgelenggang.blogspot.com/2010/05/mitos-lagenda-sejarah-nogoghi-sembilan.html

NOVEL SIAMANG GAGAP

Bagi peminat sejarah, khususnya warga Negeri Sembilan, sebuah buku karya penulis sejarah Negeri Sembilan, Tuan Abdul Latif Talib telah berada di pasaran. Buku yang berjudul Pendekar Siamang Gagap menceritakan tentang siapakah Pendekar Siamang Gagap yang namanya tertera di salah sebatang jalan di Bandar Seremban.

1872.... Yamtuan Antah menaiki takhta dengan sokongan Datuk Siamang Gagap, Datuk Penghulu Luak dan Orang Empat Istana. Namun pelantikan itu mendapat tentangan daripada Tengku Ahmad Tunggal. Inggeris mula memainkan peranan dan sengketa bermula.... Tengku Ahmad dengan hasutan-hasutan Inggeris dan bantuan Undang Luak Sungai Ujung, mula melancarkan perang ke atas Sri Menanti. Datuk Siamang Gagap dengan perikatannya bertahan. Selepas beberapa siri pertempuran, Datuk Siamang Gagap bertahan di Bukit Putus. Kedua-dua belah pihak punyai kelebihan, punyai pendekar yang bukan calang-calang dan punyai semangat yang menjulang. Lalu siapa yang alah dan siapa yang menang? *** Menurut ceritanya, suatu ketika dahulu memang wujud seekor siamang yang gagap apabila berbunyi. Penduduk kampung di Seri Menanti menganggap siamang itu 'keramat' kerana menjadi pelindung kepada penduduk kampung. Apabila ada musuh datang menyerang, maka 'Siamang Gagap' itu akan berbunyi sebagai tanda amaran supaya mereka bersiap sedia.
Apabila Siamang Gagap itu mati, penduduk kampung seperti kehilangan pelindung dan mereka tidak lupakan jasa haiwan itu. Menurut sejarahnya, ada seorang lelaki mendapat gelaran 'Siamang Gagap' kerana jasanya menyelamatkan Seri Menanti daripada angkara musuh. Lelaki itu bernama Kahar bin Haji Mukmin. Sejak dia mendapat gelaran itu, beliau dikenali dengan nama Datuk Siamang Gagap atau Pendekar Siamang gagap.



JIKA negeri lain berbangga kerana memiliki pahlawan terbilang menentang Inggeris, Negeri Sembilan juga tidak terkecuali mempunyai tokoh yang boleh dibanggakan dan disanjung tinggi kerana berjuang menentang penjajah itu. Kahar Mukmin atau lebih dikenali Datuk Siamang Gagap adalah tokoh terawal yang menentang Inggeris dalam "Perang Bukit Putus", peristiwa yang menjadi titik tolak kepada campur tangan Inggeris di negeri yang terkenal dengan adat Perpatih itu.

Sebenarnya, campur tangan Inggeris di Negeri Sembilan berpunca daripada krisis dan pergolakan takhta kerajaan negeri antara Tengku Laksamana Antah dan Tengku Ahmad Tunggal pada 1872 iaitu selepas kemangkatan Yamtuan Imam.
Datuk Siamang Gagap yang berasal dari suku Tanah Datar di Seri Menanti adalah pembesar Istana Seri Menanti dan kedudukannya ketika itu sama seperti Menteri atau Bendahara yang mengetuai pentadbiran dalam takhta kerajaan.
Beliau mendapat gelaran Datuk Siamang Gagap apabila dikatakan bersendirian dalam menentang orang Rawa (Temusi) yang cemburu dengan kemajuan dan kemakmuran Seri Menanti dan kerana kehandalannya itu beliau diberi gelaran itu oleh Yamtuan Radin.

Walaupun Yamtuan Radin mangkat pada 1861, Datuk Siamang Gagap masih menjadi pembesar istana yang penting di bawah pentadbiran Yamtuan Imam yang menggantikan kekandanya itu dari 1861-1869. Kemangkatan Yamtuan Imam menyebabkan berlaku krisis mencari pengganti baginda dan Tengku Ahmad Tunggal, putera sulung Yamtuan Radin dikatakan menuntut hak supaya dirinya dilantik menjadi Yamtuan.
Namun, atas sebab-sebab tertentu, pembesar istana dikatakan enggan melantiknya dan Datuk Siamang Gagap secara tegas mengangkat Tengku Ampuan Intan, yang juga isteri kepada Yamtuan Radin sebagai pemangku takhta kerajaan.

Sebenarnya, keputusan Datuk Siamang Gagap melantik Tengku Ampuan Intan itu tidak mendapat persetujuan sepenuhnya daripada Datuk Penghulu Luak dan Orang Empat Istana yang kemudian melantik Tengku Laksamana Antah, putera Yamtuan Radin iaitu anak saudara kepada Yamtuan Imam menaiki takhta kerajaan pada 1972. Pelantikan Tengku Laksamana Antah sebagai Yamtuan itu, iaitu kira-kira tiga tahun selepas kemangkatan Yamtuan Imam mendapat tentangan daripada Tengku Ahmad Tunggal.

Penentangan itu dikatakan menjadi pergolakan penting dalam sejarah takhta kerajaan yang membawa kepada meletus perang saudara yang tercatat dalam sejarah Negeri Sembilan sebagai "Perang Bukit Putus". Tengku Ahmad Tunggal yang kecewa kemudian meninggalkan Seri Menanti dan bertemu dengan Datuk Kelana Putera, Undang Luak Sungai Ujung iaitu Datuk Kelana Putera Syed Abdul Rahman yang simpati dengan nasibnya.

Pada masa ini, Inggeris yang sudah pun memerintah Melaka dengan menerima arahan dari Singapura sejak perjanjian Raffles dengan Sultan Hussein Shah pada 7 Mac 1819 memainkan peranan untuk mencampuri urusan di Negeri Sembilan. Inggeris yang datang ke Sungai Ujung (dikenali Seremban) sebenarnya terpikat dengan bijih timah menyatakan sokongan kepada Datuk Kelana Putera dan berjanji memberi bantuan kepadanya sekiranya hendak menyerang Seri Menanti dalam usaha membantu Tengku Ahmad Tunggal merebut takhta kerajaan.

Menerusi janji dan bantuan Inggeris itu menyebabkan krisis takhta kerajaan negeri bertambah parah yang akhirnya berlaku peperangan antara Sungai Ujung dan Seri Menanti yang dikenali sebagai "Perang Bukit Putus". Dalam peperangan itu, penduduk Seri Menanti yang berdiri teguh di belakang Yamtuan Antah diketuai oleh Datuk Siamang Gagap sementara penduduk Sungai Ujung diketuai Kapten Murray, seorang pegawai tentera Inggeris.
Pada peringkat awal, pasukan Datuk Siamang Gagap berjaya mengundurkan lawan hingga ke Paroi tetapi pihak Inggeris kemudian menambah kekuatan dengan membawa askar sepoi dari Melaka untuk membantu.
Pihak Inggeris dengan senjata lengkap akhirnya memenangi pertempuran pada 1874 itu dan bagi mengelakkan ditawan, Yamtuan Antah melarikan diri ke Johor sambil Datuk Siamang Gagap meneruskan perjuangan menentang kemasukan Inggeris ke Seri Menanti.

Ketika Datuk Siamang Gagap merancang mahu bertindak balas, beliau mendapat tahu Yamtuan Antah dikatakan sudah menerima syarat berdamai yang dibuat oleh Fredrick Alusysweld. Namun, dikatakan perjanjian antara Yamtuan Antah dengan Inggeris pada 4 Jun 1887 itu terus mendapat tentangan daripada Datuk Siamang Gagap dan bagi mengendurkan suasana, pihak Inggeris dikatakan menawarkannya menunaikan fardu haji ke Makkah. Ketika pemergian Datuk Siamang Gagap ke Makkah, Inggeris dikatakan mengambil kesempatan memeterai perjanjian dengan Yamtuan Antah dan apabila pulang beliau akhirnya terpaksa mengalah sebaik mengetahui perjanjian itu sudah ditandatangani.
Selepas menandatangani perjanjian itu, Inggeris berjaya meletakkan pengaruhnya dengan lebih berkesan di Seri Menanti dan kedudukan bandar diraja itu kian tersepit selepas Yamtuan Antah mangkat kira-kira empat bulan selepas perjanjian itu.Bagaimanapun, dalam usaha Inggeris mahu melantik Tengku Muda Chik menjadi Yamtuan bagi menggantikan Yamtuan Antah yang mangkat pada 1888, Datuk Siamang Gagap keras menentang.

Akibat penentangan itu, pihak Inggeris dikatakan melantik Tuanku Muhammad menjadi Yamtuan dan akhirnya pada 13 Julai 1889, Inggeris menamakan Martin Lister sebagai Residen Inggeris pertama di Negeri Sembilan. Mengikut sumber Datuk Siamang Gagap yang benci dan menentang kuat terhadap Inggeris kemudian mengundurkan diri daripada menjadi pembesar istana dengan melarikan diri ke Pahang selepas penjajah itu campur tangan sepenuhnya di negeri berkenaan.
Oleh Hussain Said
Berita Minggu

FORT SUPAI 2

Sumber dari: http://albuyong.blogspot.com/2010/12/fort-supai.html (Mohon perkongsian untuk kegunaan pelajar di Malaysia)

Kota Bukit Supai atau Fort Supai tidak begitu terkenal. Namun bagi penduduk setempat di Kuala Linggi, kota ini mempunyai sejarah tersendiri. Dikatakan bahawa kota ini dibina oleh Belanda untuk mengawal perjalanan keluar masuk di muara Sungai Linggi

Diperbuat dari batu leterik merah. bahagian dalamnya kosong dan berupa dataran. Tiada bangunan lain yang wujud kecuali sebuah pusara lama yang tidak diketahui milik siapa. Kota ini jarang dikunjungi kerana tidak terkenal seperti kota-kota lain di Melaka.
Dua pucuk meriam di pintu masuk kota

Bahagian dalam kota

Dinding kota

Pandangan kota dari hadapan

restoran terapung yang berada berhampiran Kota Bukit Supai
Terima kasih tuan abuyong untuk perkongsian bahan

DAPUR KAYU

Saya masih ingat lagi, sewaktu kecil dahulu. Dapur kayu adalah sinonim dengan masyarakat desa seperti kami. Kayu getah yang banyak di sekeliling kampung akan dikumpulkan. Yang bersaiz besar akan dibelah. bersaiz kecil pula dipotong dengan ukuran yang sama. Disusun di bawah rumah agar tidak terkena hujan dan basah.

Jika anda biasa menoreh getah, kepingan getah yang kering pada pelan torehan akan diambil dan dijadikan umpan untuk menyalakan api. seksa betul untuk memasak ketika itu. Asap, abu dan jelaga akan menghiasi ruang dapur. Mungkin generasi sekarang tidak merasai semua itu.

Berikut saya paparkan gambar dapur kayu yang diambil dari sumber: http://malaysiana.pnm.my/Alat%20Tradisonal/dapur_dapurkayu.htm


Lihat susunan kayu api dibawah dapur. bahan bakar yang paling murah



Buluh kecil dijadikan peniup untuk menyemarakkan pembakaran