Khamis, 15 September 2011

MOHD THANI SHAABAN DALAM KENANGAN


Dilahirkan di Teluk Kumbar Pulau Pinang pada 9 Disember 1963, Mohd Thani Shaaban merupakan salah seorang guru yang meninggalkan jasanya kepada negara. Lahirnya Kadet Remaja Sekolah kini adalah cetusan ideanya yang bermula dengan Kadet Putera Islam di SMK Raja Abdullah. Mohd Thani Shaaban hanya sekadar guru lepasan maktab awalnya sebelum menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah dalam bidang Pendidikan Islam & Sejarah.

Beliau memulakan pendidikan di Sekolah Kebangsaan Teluk Kumbar, Pulau Pinang dan ayah beliau , Shaaban bin Daud adalah bekas  Guru Besar di sekolah tersebut. Manakala ibunya Norma Binti Abdul Rahman adalah surirumah sepenuh masa. Allahyarham Mohd Thani meneruskan pendidikan menengah di SMK Tun Raja Uda, Bayan Lepas. Allahyarham seorang yang aktif dalam bidang kokurikulum dan minatnya yang mendalam melahirkan pasukan KRS yang kini dianggotai oleh ratusan ribu pelajar di seluruh negara. Sebelum memasuki Maktab Perguruan Temenggung Ibrahim, Johor Bharu, beliau pernah bekerja sebagai tukang besi untuk membantu keluarga.

Kegigihan allahyarham telah membuahkan hasil apabila menerima ijazah dalam bidang Pendidikan Islam dan Sejarah. Beliau seterusnya mengajar di SM Sains Hulu Selangor di Ulu Yam, Batang Kali.
Seorang guru yang digeruni kerana ketegasan melaksanakan disiplin tetapi juga dikasihi kerana nilai yang diterapkan oleh allahyarham berjaya menjinakkan pelajar-pelajar awal remaja yang aktif dan penuh tenaga.'

Salah seorang bekas pelajar beliau menulis tentang ketegasan beliau memantapkan disiplin sekolah. Dalam kelembutan ada ketegasan yang membawa pelajar-pelajar ke arah yang positif. Baik pelajar cina, melayu mahupun India seolah "trauma" apabila mendengar nama allahyarham terutama yang melakukan kesalahan. Selain  itu, solat berjemaah adalah suatu kemestian kepada anak didiknya pada waktu persekolahan.

Namun, kasih sayang pelajar allahyarham terhadap dirinya tidak pernah padam. Bagi yang telah menamatkan persekolah masih datang mencari beliau sekadar untuk bertemu dan berbual-bual mengenangkan kisah-kisah lalu. Mengapa tidaknya, terlalu banyak kenangan yang ditinggalkan oleh beliau kepada pelajar-pelajar.

Antara yang dicatat oleh bekas pelajarnya.....
Sesetengah pelajar apabila sudah tamat persekolahan, sangat jarang bertemu semula dengan guru mereka. Maklumlah, ada yang sibuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, ada yang masuk Angkatan Tentera Malaysia, ada yang sibuk bekerja dan membina kerjaya serta pelbagai lagi sebab2 peribadi. Mungkin, ada sesetengah guru hanya menjadi guru semasa di sekolah sahaja, namun di luar kawasan sekolah, mereka hanya sebagai orang2 kebanyakan. Berbeza dengan Allahyarham Cikgu Thani, beliau tetap seorang guru walau di mana beliau berada. Aku berani mengatakan begini kerana aku selalu berada di luar kawasan sekolah bersama-sama beliau. Sama ada pergi ke rumahnya di Ampat Tin, pergi ke Port Dickson semasa mesyuarat ABIM dan banyak lagi. Apa yang aku maksudkan beliau sebagai seorang guru walau di mana beliau berada adalah berkenaan jatidiri beliau yang selalu mendidik, tegas, memberi kasih sayang sebagai seorang guru dan selalu menjaga etika2 beliau sebagai seorang guru.
Satu lagi berkenaan uniform KRS. Sepanjang aku menjadi ahli KRS di SM Raja Abdullah, aku hanya membeli 2 helai baju sahaja. Satu T-shirt yang ada tulisan Asshababul Mustaghbal dan satu lagi uniform KPIM yang aku beli semasa di tingkatan 2 (naik pangkatlah sikit waktu ini). Selain daripada itu, baju KRIS dan baju KRS aku tidak beli. Sebaliknya, baju KPIM Cikgu Thani tukar dengan baju KRIS menggunakan sistem barter. Begitu juga semasa baju KRIS kepada baju KRS, ditukar dengan sistem barter. Kalau ikutkan logik, siapa lagi yang hendak membeli baju2 lama tersebut? Aku tahu Cikgu Thani menggunakan duitnya sendiri tetapi aku masih muda ketika itu. Masih lagi belum mempunyai pertimbangan yang dewasa. Aku ambil sebab aku berasa bangga Cikgu Thani seolah-olah menghadiahkan baju tersebut kepada aku dan kawan2. Sayangnya, aku cuma sedar ketika sudahpun bergelar mahasiswa. Rupa2nya hadiah yang diberikan merupakan jerit tangis beliau yang tidak pernah disuarakan. Begitulah keikhlasan Cikgu Thani. Sanggup memberi barang yang paling beliau sayang meskipun beliau susah.

Aku ingin menyatakan di sini bahawa Cikgu Thani tidak pernah hidup mewah walaupun hidupnya senang. Bezakan perkataan 'mewah' dan 'senang'. Mewah bersangkut dengan harta dan kekayaan tetapi senang merupakan apa yang ada dihati. Kaya tidak semestinya senang dan miskin tidak semestinya susah. Semasa pemergian beliau pada tahun 2003 pun, beliau tidak meninggalkan harta yang banyak kepada waris2nya. Cuma beberapa ringgit hasil daripada KWSP, insurans dan gratuiti (yang beliau tidak pernah dapat nikmati) serta sebuah proton waja (pemberian Pak Chu). Namun, apa yang beliau tinggalkan adalah sebuah perjuangan yang harus diteruskan oleh generasi2 baru dalam usaha untuk mendidik anak bangsa untuk menjadi rakyat Malaysia yang terdidik secara menyeluruh dan berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara"

Inilah yang dikatakan dalam pepatah orang tua-tua- harimau mati meninggalkan belang... menuasia mati meninggalkan nama. Nama beliau tetap harum di taman hati setiap pelajar atau yang mengenalinya. Namun yang menyedihkan tiada usaha yang benar-benar dilakukan untuk mengangkat nama Pengasas KRS ini agar setaraf dengan nama Baden Powell atau Agnes baden Powell. Jika dilihat dalam sukatan KRS mahupun TKRS, tiada sejarah hidup pengasas dijadikan sebahagian sukatan. Dan nama beliau hanya muncul sebanyak dua kali dalam buku panduan KRS dan TKRS.

Peranan kita, penggiat KRS waktu kini meletakkan allahyarham Mohd Thani Shaaban, insan yang berjaya mengumpulkan sebahagian pelajar dalam satu ikatan persaudaraan iaitu persaudaraan KRS. Pihak KPM juga diminta meninjau-ninjau sesekali perkembangan dan juga keperluan KRS agar unit elit milik KPM ini tidak lapuk dek hujan, usang dek matahari.