Isnin, 26 September 2011

BONGAI- LAGU TRADISIONAL NEGERI SEMBILAN

TAJUK INI BOILEH DIGUNAKAN UNTUK UJIAN KEBUDAYAAN

PENGENALAN
Bongai adalah suatu kesenian yang tidak asing bagi masyarakat di Negeri Sembilan. Bongai
boleh dikatogerikan sebagai lagu-lagu tradisi untuk masyarakat Negeri Sembilan khasnya, dan Malaysia amnya. Ia boleh disama taratkan dengan 'Dondang Sayang' bagi Negeri Melaka,  'Ghazal' bagi Negeri Johor, 'Dikir Barat' bagi Negeri Kelantan, 'Boria' bagi Pulau Pinang dan  berbagai kesenian dalam bentuk 'lagu' di negeri-negeri lain.
Bongai amat popular dalam masyarakat Negeri Sembilan suatu ketika dahulu, khususnya di
dalam majlis keramaian yang melibatkan perkahwinan. Namun, dalam dekad 1980 an dan
1990 an, Bongai kurang mendapat perhatian daripada jenerasi muda, kerana saingan dengan lagu dan muzik moden yang semakin berleluasa ketika ini. Walau bagaimanapun, bagi masyarakat lama yang pernah mengalami dan merasai kehidupan dalam zaman kegemilangan Bongai, sekitar tahun-tahun sebelum 1970an, persembahan Bongai seolah-olah menjadi suatu nostalgia bagi mereka. Lantaran itu, mereka masih memerlukan Bongai untuk persembahan pada hari perkahwinan anak-anak mereka.

ASAL PERKATAAN BONGAI
Berbagai pandangan telah dibuat mengenai Bongai. Ada pendapat yang mengatakan bahawa perkataan Bongai adalah perkataan yang tersendiri dan tidak ditiru daripada mana-mana perkataan pun. Encik Udin Bin Russin atau lebih dikenali sebagai Pak Din Bongai, iaitu salah seorang penyanyi Bongai yang aktif di Negeri Sembilan, mengatakan bahawa nama Bongai berasal daripada perkataan 'Bong dan Lai' yang bererti 'sayang'.
Ismail Abdul Hadi didalam bukunya, mengulas : Seorang tokoh budaya tempatan Abdul Latif
Oyek, memberi pengertian bahawa perkataan 'bongai' adalah dicipta dari dua perkataan, iaitu perkataan 'bong' dan perkataan 'aye'. Perkataan 'bong' memberi maksud 'seseorang yang dihormati', sementara perkataan 'aye' bererti saya ". (Lihat, Ismail Abdul Radi, 'Bongai ,
Nyanyian Tradisional Negeri Sembilan', Grup Penulis Guru Negeri Sembilan Jabatan
Pendidikan Negeri Sembilan, Seremban, 1996, halaman 4).

Walau apapun asal usul perkataan 'Bongai' tersebut, namun yang paling utama ialah,
persembahan Bongai mempunyai keunikannya yang tersendiri dan telah diterima sebagai
identiti lagu bagi Negeri Sembilan (mulai 1997) serta telah mula diterima oleh kebanyakan
masyarakat di negeri ini.

SEJARAH ASAL USUL
Bongai dipercayai satu-satunya lagu rakyat yang asli kepunyaan masyarakat Negeri Sembilan. Begitulah pendapat yang penuh meyakinkan yang diberi oleh Encik Udin Bin Russin, atau Pak Din Bongai salah seorang penggiat Bongai yang masih terdapat di Negeri Sembilan. Pendapat  ini telah disokong oleh ramai ahli kumpulan Bongai Seri Petasih di Kampong Kepis, Kuala Pilah.


Namun bagi kebanyakan pengkaji, Bongai dikatakan berasal daripada Sumatra Barat,
Indonesia, yang dibawa masuk oleh orang-orang Minangkabau, semasa mereka berhijrah ke
Negeri Sembilan suatu ketika dahulu. Keadaan ini disebabkan oleh wujudnya persamaan
antara lagu kesenian rakyat Minangkabau yang diberi nama 'Berbilang Panjang' dengan 'Lagulagu Bongai'. Persamaan ini meliputi inti dan cara ia dipersembahkan.

APA ITU BONGAI
Dalam pemahaman mudah, 'Berbongai' bererti berbalas pantun yang disampaikan dalam
bentuk lagu oleh para pemantunnya. Bongai adalah sejenis lagu rakyat tradisional Negeri
Sembilan yang dinyanyikan secara solo atau berduet atau beramai-ramai. Namun, konsep
persembahan adalah, hanya seorang sahaja boleh menyanyi atau berpantun dalam satu-satu masa. Orang lain tidak boleh menyanyi atau mengacau ketika lawan atau pasangannya
sedang menyanyi. Persembahan secara solo boleh dinyanyikan oleh samada lelaki atau wanita. Begitu juga, jika dipersembahkan secara berduet, ia boleh menggunakan pasangan lelaki dan wanita atau lelaki kedua-duanya atau wanita kedua-duanya. Jika persembahan dibuat beramai-ramai, ia Mengekalkan konsep asal, iaitu hanya seorang sahaja boleh menyanyi dalam satu-satu masa, yang kemudiannya disahut atau disambut oleh orang lain dalam kumpulan yang sama.

Rajah 2
dan Rajah 3 di bawah menunjukkan bagaimana Pembongai berbalas pantun.
Pembongai Pertama adalah orang yang memulakan nyanyian dan ia harus bijak
memulakan nyanyiannya dengan pantun yang indah. Pembongai Pertama ini
bertanggungjawab memilih,

1. lrama yang ingin dinyanyikan seperti lrama Petasih. Budu Landai. Cantik
Manih dll. Dan

2. Tema persembahan seperti cinta, adat dll.

Pembongai Kedua pula akan menjawab pantun yang di jual oleh Pembongai
Pertama tadi. Semasa menjawab pantun, ia mestilah menggunakan irama dan
tema yang sama. lrama dan tema yang digunakan oleh Pembongai Pertama
tidak harus atau tidak boleh ditukar oleh Pembongai Kedua. lrama dan Tema
mesti dikekalkan biar pun berbongai hingga ke pagi. Irama dan Tema hanya
boleh ditukar apabila sesuatu lagu baru dimulakan.
Untuk pantun ketiga ia boleh dijawab oleh sama ada Pembongai Pertama semula
atau Pembongai Ketiga. lrama dan Tema masih dikekalkan dan tidak boleh
ditukar. Begitulah seterusnya.

Rajah 2 : Carta memberi gambaran bahawa Irama dan Tema Bongai mesti sama di dalam
sesuatu lagu yang dipersembahkan walaupun mereka berbongai hingga ke dini hari.
Rajah 3 : Pantun-pantun yang dijual semasa berbongai boleh dijawab oleh sesiapa sahaja
daripada kalangan Pembongai

NAMA LAIN
Di tempat-tempat tertentu, di Negeri Sembilan, perkataan Bongai kurang popular dikalangan
penggiatnya kerana mereka mempunyai nama yang tersendiri bagi lagu t.radisional tersebut.
Di kawasan Kepis umpamanya, lagu-lagu bongai lebih popular dengan panggilan 'Lantak
Kudo' yang sama maksudnya dengan 'Rentak Kuda'.

Selain itu, nama 'Petasih' juga sering digunakan bagi menggantikan nama Bongai. Namun,
ketika ini, iaitu dekad 1990an, masyarakat Negeri Sembilan mula memanggil lagu-lagu
tradisional ini dengan nama 'Bongai' iaitu istilah yang diguna dan diterima pakai oleh pihak
kerajaan Negeri Sembilan.

MASA DINYANYIKAN
Bongai tidak dapat dipisahkan daripada majlis perkahwinan di Negeri Sembilan. Namun ia
bukanlah suatu kemestian yang wajib dilaksanakan apabila kenduri kahwin hendak
dilangsungkan. Sehingga tahun-tahun 1950 an, 'berbongai' didalam kenduri dan adat
perkahwinan adalah suatu yang amat perlu, dan seolah-olah tidak lengkap jika tidak
berbongai.

Didalam sesuatu majlis perkahwinan, berbongai biasanya dilangsungkan mulai jam sepuluh
atau sebelas malam hinggalah kesubuh, iaitu sebelum tarhim atau azan di surau. Ketika ini,
Bongai berperanan sebagai penghibur, dan seterusnya mengelakkan kebosanan kepada
orang ramai yang sedang sibuk membuat persiapan kenduri kahwin tersebut.

BENTUK atau TEMA
Usik mengusik, berkasih sayang, asam garam rumah tangga dan kehidupan sekampung
adalah merupakan tema yang popular di dalam sesebuah persembahan bongai. lni bermakna bahawa, para pembongai akan mencipta dan menyanyi berasaskan kepada tema yang dimulakan oleh penyanyi yang pertama atau penjual pantun yang mula-mula.
Keadaan ini berlaku kerana, setiap pantun yang dijual dan yang dibeli oleh pembongai harus
mempunyai kaitan dan kesinambungan bagi sesuatu irama yang dipilih. Tema-tema yang berat seperti peperangan, kepahlawanan, kepimpinan dan sebagainya amat jarang menarik minat pembongai.

TEMPAT PERSEMBAHAN
Bagi kebanyakan kesenian lain, persembahannya sudah pasti memerlukan tempat yang
sesuai agar ia kelihatan lebih menarik. Namun bagi Bongai, tidak ada tempat khusus untuk
persembahannya. Bongai boleh dipersembahkan di atas rumah, atau tempat-tempat yang
terbuka dan boleh didengari serta ditonton.

Serambi atau bahagian hadapan rumah adalah tempat yang sering digunakan untuk
persembahan Bongai. Sesuatu tempat persembahan Bongai tidak perlu dihias sebegitu rupa. Memadai dengan hamparan sehelai tikar mengkuang. Para pembongai biasanya akan hanya duduk bersila, sambil menyanyi atau bermain alat muzik yang diperlukan.

ALAT MUZIK
Terdapat berbagai alat muzik didalam sesuatu persembahan Bongai mengikut kesesuaian
persembahan dan penyanyinya. Namun alat muzik yang biasa digunakan didalam sesuatu
persembahan adalah Violin, Rebana, Gong, Gendang, Salung dan Tumbuk Kallang. Alat -alat muzik lain boleh juga digunakan sebagai tambahan kepada alat muzik sedia ada, seperti
Caklempong, Bangsi, Accordian dan lain-lain lagi.

IRAMA atau LAGU
Di dalam sesuatu persembahan Bongai, terdapat berbagai irama yang didendangkan oleh
penyanyinya. Antara irama yang sering dinyanyikan ialah seperti irama Anak Bocek, irama
Petasih, irama Budu Landai, irama Cantik Manih, irama Comporai dan sebagainya.


SENIKATA atau PANTUN
Senikata bagi lagu-Iagu Bongai mempunyai keindahan dan keunikannya yang tersendiri yang amat jelas membezakannya dengan lagu-Iagu lain. Bongai, biasanya dinyanyikan dengan menggunakan pantun-pantun tradisi yang dicipta oleh penyanyi Bongai sendiri dengan tujuan yang tertentu, seperti sindiran, usikan, gurauan, kasih sayang, dan lain-lain lagi. Namun, tujuan dan maksud pantun amat jarang sekali berniat hasad dengki atau memburuk-burukkan sahabat sesama mereka. Malah, pada pantun yang akhir sekali biasanya Pembongai akan memohon kemaafan sekiranya tersalah dan terkasar bahasa semasa berbongai tadi.

Sesuatu yang amat menarik ialah, pantun-pantun dalam Bongai biasanya dicipta secara
spontan, iaitu semasa Pembongai sedang menyanyi. Oleh itu tidak hairanlah jika dikatakan
bahawa seseorang Pembongai adalah juga seorang yang berbudi bahasa dan 'sasterawan'.
Malah jauh daripada itu ialah, beliau seharusnya juga mempunyai ciri-ciri berikut :

Penyabar, kerana pihak lawan mungkin menggunakan perkataan yang kurang disenangi
semasa berpantun
Bersuara merdu dan lunak untuk mengindahkan lagi lagu-Iagu Bongai yang dinyanyikan.

Mempunyai nafas yang panjang, untuk disesuaikan dengan irama Bongai

Mempunyai kebolehan untuk mendapatkan perkataan-perkataan yang tepat dan indah,
tetapi mempunyai maksud yang bukan sahaja selapis, bahkan dua lapis, tiga lapis dan
seterusnya

Berani dan bersemangat, terutamanya semasa menyanyikan lagu-Iagu Bongai, kerana
penonton atau pendengar akan mencemuh atau mengejek jika pantun kurang tepat atau
tidak wajar. Sikap penakut akan menyebabkan persembahan Bongai tidak berseri pada
malam tersebut

Tidak dapat dinafikan bahawa pantun-pantun yang dicipta oleh Pembongai boleh dikategorikan sebagai puisi Melayu lama dalam bentuk syair, gurindam, seloka, pantun dan lain-lain lagi. la dicipta sebegitu indah dan halus dengan menggunakan perkataan-perkataan tertentu dalam bentuk pantun dua kerat, empat kerat atau enam kerat. Pantun-pantun ini boleh disesuaikan mengikut rentak dan irama lagu yang ingin dinyanyikan serta tema yang sedang diperkatakan. Antara pantun yang sering diperdengarkan atau dinyanyikan di dalam acara-acara berbongai adalah seperti berikut :

Ikan sepat mudik ke hulu
Anak haruan putih dadanya
Siapalah cepat dapatlah dahulu
Siapalah kemudian putihlah matanya

Umbut-umbut dalam paya
Kalau hilir bawa lumut
Nak berebut saya tak terdaya
Kalau cicir saya boleh pungut.

Kelaut mencari gunja
Dapat gunja setengah kati
Kalau den hidup nak jadikan jua
Kalau mati luar janji

Kain perai bajunya perai
Pakaikan anak kelasi tongkang
Nyawa dibadan lagikan bercerai
lnikan pula kasih menumpang

Rakit-rakit pergi ke tepi
Budak-budak tumpang menyeberang
Hati sakit kerana budi
Budi abang tak dikenang orang

Cili api memang pedas
Buat rendang sedap rasanya
Abang berbudi tak hendak dibalas
Kalau kau kenangkan apa salahnya

Ikan sepat memang mudek ke hulu
Umbut-umbut dalam paya
Sapa cepat ambillah dahulu
Nak berebut saya tak terdaya

Buah keranji di tengah laman
Kalau berbuah bertaut muda
Sudah berjanji berjabat tangan
Kalau berubah mati muda

Sari-sari ke Tanjung Jati
Pasang racik kena murai
Carilah dik oi ubat tak mati
Supaya kasih jangan bercerai

Tidaklah dapat sihendak padi
Dedak jua ditumbuk luluh
Tidak dapat sikehendak hati
Kehendak Allah jua yang sungguh

Tanam ubi disimpang empat
Tanam mari rapat-rapat
Abang berbudi elok mencari tempat
Selalu berbudi balasnya tak dapat

Tanam ubi bulan purnama
Cahayanya sampai hingga pagi
Budi abang saya dah terima
Menjadi kenangan sampai ke mati

Api-api terbang lima
Hinggap seekor dicelah daun
Budi tuan sangat berguna
Menjadi kenangan bertahun-tahun.

Kurang minyak diperminyakkan
Minyak ditaruk tengah laman
Kalaulah burung tengah jinak
Boleh makan ditapak tangan

Sirih kuning junjungan inai
Gajah bersila diuratnya
Putih kuning gemuk gemunai
Geli hati dibuatnya

Kedarat mencari bingkat
Dapat bingkat pecah belah
Terbang melayang burung nak dipikat
Hinggap ke dahan abang pasang getah.

Kalau ada buah-buahan
Nak menebang kayu berduri
Kalau ada mudah-mudahan
Burung Terbang menyerah diri.

Apa tanda hari nak petang
Anak merebah terciap-ciap
Apa tanda abang nak pulang
Parah didada terkirap-kirap.

Bukan minyak sebarang minyak
Minyak bercampur dua pati santan
Macam mana burung nak jinak
Burung tidak diberi makan.
Hitam tampuk hitam tangkai

Patah ditanduk dek kerbau jantan
Sebulan mabuk setahun lolai
Baru tahu berkasih sayang.
Tinggi bukit kampung Melayu

Kain pelikat dari seberang
Tuan umpama burung dikayu
Nak dipikat ia dah terbang.
Pagi-pagi motong getah

Potong mari tiga penjuru
Kalau tak dapat burung ku getah
Hanyut pula petuan guru
Tinggi bukit gunung senanti

Air dalam berkala-kala
Adik tu ulit boleh dinanti
Kalau tak mahu apakan daya
Kedarat mencari rotan

Tiada rotan elokkan akar
Pandang diluar tak berkesan
Hati didalam kelusuh bakar.
Burung puchung terbang tinggi

Dia membawa sebatang damak
Sudah terlangsung kita kemari
Mengikut perintah orang yang banyak.
Pergi mengail kelubuk batu

Dapat seekor ikan haruan
Kalau dapat budak itu
Bayarkan niat ke Tanjung Tuan
Sari-sari pergi ke rimba

Nampak pelanduk menggaru papan
Petang-petang hatiku hiba
Nasiku senduk tidak termakan.
Ke daik membeli lada

Batu pahat kuala deli
Buat baik berpada-pada
Buat jahat jangan sekali.

Hancur luluh padi dek balam
Sayang selasih akan berderai
Hancur luluh hati di dalam
Kasih sayang akan bercerai

Nak berderai-berderai limpato
Berdekat padi ditengah laman
Nak bercerai, bercerai dimato
Bercerai dihati, itulah jangan

Bukan senang selasih berderai
Mentadak dimuka pintu
Bukan senang kasih nak bercerai
Macam budak bercerai susu.

Sungai baru sungai layang
Rama-rama di Kampung Tinggal
Dapat yang baun kepalang sayang
Tapi yang lama akan tinggal

TUJUAN DAN PERANAN
Bongai dipersembahkan dengan tujuan-tujuan tertentu, khasnya 'hiburan' pada waktu malam
iaitu setelah penat berkerja disiang hari. Secara umumnya, terdapat dua tujuan utama,
persembahan bongai iaitu :

i) Suatu masa dahulu, Bongai dipersembahkan sebagai 'pelepas penat', setelah berkerja
sepanjang hari. Dalam hal ini, penduduk kampung akan menyertai aktiviti Bongai samada
?
Sebagai peserta yang turut berpantun atau Sebagai penonton

ii) Bongai juga dipersembahkan bagi tujuan menghiburkan dan melekakan orang kampung
yang sedang sibuk membuat persiapan di dalam sesuatu majlis, seperti majlis perkahwinan,
majlis keramaian, majlis menyambut kedatangan pembesar dan lain-lain lagi. Dengan cara ini,Bongai boleh berperanan sebagai 'hiburan yang mengasyikan dan melekakan' kepada orang yang sedang bergotong royong, sehingga mereka tidak sedar hari telah subuh.

KESAN-KESAN
Sesuatu persembahan Bongai biasanya boleh memberi kesan secara langsung atau tidak
langsung kepada masyarakat pengamal dan khalayak pendengarnya atau penontonnya.
Kesan secara langsung yang dapat disenaraikan ialah :
?
Sesuatu persiapan persediaan makan minum untuk majlis perkahwinan boleh diadakan
menjelang subuh iaitu satu malam sahaja.
?
Para pembongai akan merasa seronok dan terhibur, serta dapat melepaskan perasaan
atau sesuatu yang 'terbuku' dihati mereka kepada orang ramai. Selepas berbongai,
mereka akan merasa puas

Kesan secara tidak lansung ialah :
?
Berbongai boleh mengeratkan lagi rasa persaudaraan dan semangat bermasyarakat
dikalangan penduduk sesebuah kampung. Keadaan ini berlaku kemana Bongai itu sendiri
mempunyai unsur-unsur dan tujuan memupuk persaudaraan dan kemasyarakatan di
kalangan penggiatnya. Malah, diakhir Sesebuah persembahan Bongai, mereka akan
saling bermaafan sama ada melalui kata-kata di dalam pantun atau secara bersalaman
antara mereka.
?
Bongai juga boleh mencantumkan atau menyambungkan semula persahabatan yang
telah renggang atau terputus. Malah yang amat menarik ialah terdapatnya pasangan
suami isteri yang 'rujuk' semula perkahwinan yang telah runtuh, hanya kerana pujuk rayu
yang penuh perasaan melalui Bongai. Dalam hal ini, biasanya pantun-pantun yang
digunakan adalah dalam bentuk pujukan mendayu-dayu yang boleh menimbulkan
keinsafan apabila dinyanyikan dalam irama Bongai yang tertentu.
?
Bongai dipercayai sebagai 'penemu jodoh' antara pasangan lelaki dan perempuan.
Semasa berbongai mereka akan usik mengusik dan saling bertanya hal masing-masing
melalui pantun-pantun yang dicipta. Akhirnya, usik mengusik ini tidak tamat semasa
berbongai sahaja, sebaliknya ia telah membuahkan bibit-bibit cinta dan sayang, yang
akhimya membawa kepada perkahwinan. Dalam sesetengah masyarakat dikampungkampung,orang yang pandai dan berkebolehan berbongai dianggap sebagai 'hero' untuk menawan hati wanita yang diidaminya.

KUMPULAN-KUMPULAN BONGAI
Suatu masa dahulu, tidak dapat dinafikan bahawa, terdapat banyak kumpulan-kumpulan
Bongai di seluruh Negeri Sembilan. Namun akibat perubahan dan perkembangan zaman,
kumpulan Bongai semakin berkurangan dan hilang kerana merosotnya bilangan penggiat danpengemarnya. Sehingga, ini (1998), hanya terdapat tiga kumpulan bongai yang aktif di Negeri Sembilan.

Kumpulan pertama ialah Kumpulan Bongai Seri Poron, Kuala Pilah, yang diketuai oleh Encik
Udin Bin Russin atau lebih dikenali sebagai Pak Din Bongai. Kumpulan ini telah bergerak aktif  dalam menghidupkan lagu-lagu Bongai di Negeri Sembilan sejak awal tahun 1990 an.
Kumpulan ini disertai oleh beberapa orang dari kampung Purun Kuala Pilah, termasuk Pak Din sendiri yang bertindak sebagai penyanyi Bongai dan pemukul rebana atau gendang, Pak Basir atau nama penuhnya Md. Sil Bin Khamis, sebagai pengesek Violin dan beberapa orang anak cucu kepada Pak Din. Ahli lain dalam kumpulan ini ialah, Leha Binti Kassim, Noor Zam Bin Mohd Zaman dan Esah Binti Suboh. Kumpulan kedua ialah Kumpulan Bongai Kampung Tengkek, Batu Kikir, Kuala Pilah, yang diketuai oleh Encik Mohd Shah bin Hj Abdul Rahman. Kumpulan ketiga pula ialah Kumpulan Bongai Seri Petasih, Kampung Kepis Hilir, Kuala Pilah, yang di ketuai oleh Encik Dsoh Bin Abdul Ghani. Kumpulan ini sebenarnya memang telah sedia ada di Kampung Kepis Hilir, namun kebanyakan mereka hanya bergerak secara bersendirian dan menyanyi apabila berpeluang.
Meraka tidak mempunyai sebuah persatuan yang khas, yang boleh mengketengahkan
mereka. Tahun 1997 dan 1998, mereka mula menubuhkan persatuan atau Kumpulan Bongai Seri Petasih, yang diketuai oleh Encik Usoh Bin Abdul Ghani, Encik Kadiran Bin Muhamad (Setiausaha), Encik Abdullah Mihat (Bendahari), sementara ahli-ahli kumpulan ialah Encik Salleh Bin Rashid Encik Mohd Nor Bin Abdullah, Encik Wan Ahmad Kamal Bin Wan Hanid, Encik Rahmad Bin Abdul Ghani, Encik Abas Bin Udin, Encik Buyong Bin Wok, Encik Ali Bin Yassin, Encik Samah Bin Yassin, Encik Muhamad Bin Akhir dan Encik Muhamad Bin Manaf.
Kumpulan-kumpulan Bongai ini adalah merupakan kumpulan yang sememangnya
menyanyikan lagu-lagu Bongai sahaja, tanpa mencampur adukan dengan lagu-lagu lain.
Selain yang disenaraikan di atas, terdapat juga kumpulan-kumpulan lain, yang juga
menyanyikan lagu-lagu Bongai, tetapi tidak menjadikannya sebagai aktiviti utama mereka.
Sebaliknya, lagu Bongai hanya dijadikan sebagai lagu-lagu selingan dalam persembahan
mereka. Antara kumpulan tersebut ialah :
?
Kumpulan Caklimpung Pesbudi, Lenggeng.
?
Kumpulan Caklimpung Putrasari, Rembau.
?
Kumpulan Tumbuk Kallang Seri Duanda, Jelebu.
?
Kumpulan Tumbuk Kallang Seri Tajjali, Jelebu.
?
Kumpulan Persada, Seremban
?
Kumpulan Anak Desa, Kuala Pilah.
?
Kumpulan Gebano Seri Perpatih, Kuala Pilah
?
Kumpulan Sinar Kallang, Gemencheh.
?
Kumpulan Tumbuk Kallang Warisan, Palong Enam, Jempol. . Kumpulan Anak Desa, Kuala
Pilah.
?

Isnin, 19 September 2011

SEJARAH DI SEBALIK PENGGUNAAN NAMA HASSAN BASIR BAGI PUSAT KOKO NEGERI 9

Admin tertanya-tanya juga siapakah Hassan Basir sehingga namanya diabadikan pada Pusat Kokurikulum Negeri Sembilan. Awalnya pusat ini hanya dikenali dengan nama PUSAKO dan admin bersama-sama beberapa rakan penggiat KRS yang terawal pernah mencabut pokok-pokok senduduk di padang sekolah ini. Waktu ini pusat ini masih di awal penubuhan namun kerjasama yang wujud antara pelbagai pihak menjadikan pusat ini semakin berkembang maju. Setelah beberapa lama pencarian akhirnya ditemui jua sedikit maklumat tentang pemilik nama bertuah ini.


Haji Hassan Basir ( 1915 – 1978) Latar Belakang

Tokoh ini berasal dari Kampung Sungai Jelutong , Mukim Ulu Jempol dalam Daerah Kuala Pilah. Dikenali sebagai Tuan Haji Hassan Basir atau nama penuhnya Hassan bin Basir bin Julat. Ibunya bernama Judah binti Deli. Haji Hassan lahir dalam tahun 1915. Beliau adalah anak tertua dari lima adik beradik. Adik-adiknya bernama Sulaiman, Sirak, Jaharah dan Haji Abdul Aziz . Bapanya bertanggung jawab secara langsung dalam mendidik anaknya ini kerana selepas memberi pendidikan asas, beliau telah menghantar Haji Hassan dalam usia belasan tahun ketika itu menuntut di Bukit Tinggi, Minangkabau Sumatera. Peliknya, beliau telah menjuruskan Haji Hassan untuk menuntut 'ilmu dunia' terlebih dahulu sebelum mengaji agama sehingga khatam.

Menurut cerita adiknya Tuan Haji Abdul Aziz Basir, abang beliau ini telah menuntut '"lmu dunia" terlebih dahulu seperti ilmu perdukunan, kebatinan dan persilatan. Difahamkan beliau dizinkan Allah membuat lipan atau ular jadian dari ilmu yang dituntutnya. Selepas tamat berguru ilmu dunia itu barulah beliau memulakan pengajian dalam bidang agama di Pasentran Bukit Tinggi. Butir-butir lanjut tempat pengajiannya sukar diperolehi kerana tiada maklumat jelas. Setelah mengaji agama ini, Allahyarham Tuan Haji Hassan mampu membezakan " ilmu hitam dan ilmu putih" dan beliau akhirnya alim dalam bidang agama.

Balik Kampung
Sekembalinya di kampung asalnya, beliau telah berkahwin dengan gadis sekampung bernama Somi binti Ahmad. Hasil perkahwinannya, beliau mendapat ramai anak tetapi ramai pula anak-anaknya meninggal dunia masa kecil. Anak-anak yang hidup menjadi pengubat lara mereka antaranya bernama Rosnah, Samsidar, Roslina , Norhayati , Roshidah dan Haji Nasarudin ( dikenali dengan panggilan 'Udo' ).

Di kampung, beliau membuka kedai runcit dan sebuah surau untuk mengajar anak-anak belajar agama. Surau tersebut bersebelahan dengan rumahnya. Kanak-kanak yang datang mengaji biasanya akan tidur di surau. Sebelum waktu maghrib, mereka akan berduyun-duyun 'balik surau'. Mereka terlebih dahulu bergotong royong mengambil air perigi untuk memenuhkan tempayan dan membersihkan surau. Beliau benar-benar komited dalam mendidik kanak-kanak tersebut. Apabila mendengar kanak-kanak tersilap membaca Al Quran, Allahyarham akan menegurnya walaupun waktu itu beliau berada dalam rumahnya.

Menurut Haji Abdul Aziz, beliau dan kanak-kanak lain cukup kecut perut ( takut) dengan Haji Hassan. Miskipun tidak pernah merotan budak-budak tetapi beliau semacam ada 'penggering' yang mampu menakutkan mereka. Menjelang subuh, sesiapa yang lewat atau liat bangun sholat berjemaah akan disimbah dengan air dari tempayan. Mereka kemudianya pergi pula bersekolah rendah yang terletak bersebelahan rumah Haji Hassan.

Membina Sekolah
Kerana prihatin dalam memberi pendidikan kepada kanak-kanak di kampungnya, Allahyarham Haji Hassan telah mewakafkan sebahagian tanahnya yang bersebelahan rumahnya untuk didirikan sebuah sekolah. Dengan bantuan penduduk kampung dan budak-budak yang mengaji dengan beliau, mereka telah membina sekolah. Haji Abdul Aziz menceritakan kisah mereka bergotong royong tidak kira siang dan malam untuk meratakan tanah tapak sekolah. Mereka menggunakan belulang kulit kerbau untuk menarik tanah waktu itu. Sekolah ini mula beroperasi di awal tahun 1950an. Sekolah Melayu ini kemudiannya diberi nama Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Jelutong.

Allahyarham Haji Hassan Basir turut dilantik sebagai guru agama di sekolah tersebut. Peringkat awalnya, sekolah baru ini hanya beratapkan rumbia dan meja serta bangkunya diperbuat dari buluh sahaja. Bapa penyusun, Allahyarham Cikgu Baharuddin bin Muhamad ( 1927 – 1985) adalah salah seorang Guru Besar sekolah ini. Beliau mula bertukar ke sekolah ini dalam pertengahan tahun 1965. Penyusun turut bertukar ke sekolah ini dalam tahun 1966 dalam darjah dua. Ketika itu bangunan sekolah baru, sebuah rumah guru dan kantin telah dibina. Bangunan lama masih berdindingkan papan tetapi masih boleh digunakan. Penyusun masih ingat padang sekolahnya belum sempurna lagi kerana berlopak-lopak dan menjadi kubang kerbau.








Photo: Menteri Pelajaran En. Khir Johari merasmikan bangunan sekolah baru SK Sg Jelutong tahun 1967. Haji Hassan Basir di belakang menteri dalam tanda bulatan.

.Berbagai aktiviti untuk memperindahkan sekolah dan meningkatkan tahap pendidikan murid-murid telah dilaksanakan. Sudut makmal sains dan mini zoo turut disediakan. Pernah murid-murid sekolah dikerahkan melapah seekor harimau akar kulitnya dijadikan koleksi sudut sains sekolah kami. Haji Hassan pernah bercerita kepada murid-murid sekolah kisah pengalamannya di Bukit Tinggi, Sumatera. Beliau selalu diusik hantu yang kerap menjelma ketika beliau pergi atau pulang dari pusat pengajiannya. Kerana marah dengan gangguan itu, suatu hari beliau telah membakar muka hantu itu dengan suluh daun kelapa sehingga terbakar janggut hantu. Mungkin kejadian itu ada kena mengena dengan ujian mengaji ilmu dunia yang dipelajarinya.

Peribadi
Pada hemat penyusun, Allahyarham Haji Hassan seorang yang mudah mesra dan peramah bila bertemu seseorang yang sealiran dengannya. Ini kerana beliau kerap berbual panjang dengan bapa penyusun dalam pejabat Guru Besar. Banyak rahsia perjuangan masa lampau dari mereka berdua, terutamanya berkisar tentang gerakan memperjuangkan martabat bangsa dan tanahair. Bapa penyusun sendiri adalah bekas pelajar sekolah Jepun di Kua Gakuin Saimon Road, Singapura dalam tahun 1945. Menurut ibu penyusun, beliau aktif dalam gerakan pro-kemerdekaan dan mungkin terlibat dalam Kesatuan Melayu Muda ( KMM) yang dipimpin oleh Ibrahim Yaacob kerana banyak gambar-gambar lamanya dengan tokoh ini.

Haji Abdul Aziz Basir memberi tahu bahawa abangnya Haji Hassan pernah ditahan tiga bulan oleh Penjajah British kerana disyakki terlibat dengan peristiwa kebangkitan orang-orang Melayu selepas Perang Dunia Kedua. Selepas tamat perang dalam tempoh 14 hari iaitu 15 Ogos hingga 30 Ogos 1945 sebelum Tentera Berikat kembali menguasai Tanah Melayu, kumpulan Tentera Bintang Tiga yang dianggotai ramai kaum Cina telah bermaharajalela membuat kacau bilau. Tempoh tersebut merupakan satu suasana vacuum kerana tiada mana-mana kerajaan yang memerintah kecuali Kumpulan Bintang Tiga. Golongan ini telah membalas dendam terhadap penyokong Jepun dan sesiapa yang dianggap talibarut. Peristiwa itu mencatat sejarah kerana ramai orang-orang Melayu yang dianggap pro Jepun atau mangsa balas dendam peribadi menjadi sasaran. Datuk penyusun sendiri telah hilang atau dibunuh oleh Bintang Tiga ini.

Akibat tekanan yang mendesak ini, orang-orang Melayu dibanyak tempat dan tidak terkecuali Kawasan Ulu Jempol ini telah bersatu dan bangkit menentang Bintang Tiga. Peristiwa Perang Batu Kikir dianggap kemuncak 'bertemu buku dengan ruas' di mana hampir sebahagian besar penduduk menyertai gerakan sehingga terakam peristiwa berdarah ini dalam lipatan sejarah pergolakan antara kaum waktu itu. Sebelum kejadian Tragedi 13 Mei pula, Allahyarham pernah meramalkan bahawa negara akan dilanda suatu bala' dan menyarankan penduduk kampung berwaspada. Peringatan itu disampaikan oleh beliau di Kilang Mesin Padi Simpang Sungai Jelutong yang menjadi tempat penduduk kampung berkumpul.

.Bersara
Selepas bersara, Haji Hassan mengajar agama di beberapa buah masjid dalam Kariah Mukim Ulu Jempol. Allahyarham Haji Hassan telah beberapa kali menunaikan fardhu haji dan terakhir selepas beliau bersara wajib dari perkhidmatan. Beliau juga kerap dikunjungi orang untuk berubat dan dikatakan pandai mengubat atau mengawal orang-orang yang berpenyakit gila. Beberapa orang anak cucunya berjaya melanjutkan pendidikan hingga ke Azhar dan Madinah dalam jurusan agama. Beliau meninggal dunia dalam tahun 1978 dan dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Ghalib, Sungai Jelutong. Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Jelutong yang diasaskannya telah ditutup dalam tahun 1989 kerana bilangan murid-murid di sekolah ini telah berkurangan. Ramai anak-anak muda dan penduduk kampung telah berhijrah keluar terutama apabila pembukaan kawasan baru Felda.

Usaha membangunkan semula sekolah
Dalam tahun 1995, penyusun bersama Tuan Haji Abdul Aziz Basir iaitu adik Allahyarham Haji Hassan telah merancang untuk menjadikan bekas sekolah berkaitan Maahad Tahfiz di bawah pengurusan Madrasah Annuriah, Sungai Udang Melaka. Jawatankuasa penaja dari Kampung Sungai Jelutong telah membuat lawatan ke Annuriah bagi maksud tersebut. Lawatan balas pihak Annuriah juga berlaku di mana Tuan Guru Haji Jaliluddin Abdul Wahid, mudir Annuriah menunjukkan komitmennya untuk membantu menubuhkan maahad ini.

Menariknya, perbezaan kefahaman politik antara beberapa penaja dengan Haji Jaliludin selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka tidak menjadi halangan untuk menjayakan usaha murni itu. Malangnya, permohonan menggunakan bekas sekolah tidak pula diluluskan oleh Pejabat Pendidikan Negeri kerana mereka ingin menjadikan kawasan tersebut sebagai pusat latihan. Kini, bekas sekolah ini dikenali Kem Pusako di bawah kendalian Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan
Dipetik dari:www.lebaikampung.blogspot.com

SUATU PERKONGSIAN

LUKAH YANG DIHASILKAN OLEH SISPA USIM


SALAH SATU LUKAH BUATAN SESI IKHTIAR HIDUP

SALAH SATU TEKNIK MEMASAK DI HUTAN



MASAKAN YANG TELAH SIAP DIHIDANGKAN


Sesi khidmat bantu kejurulatihan bersama Siswa Pertahanan Awam, Universiti Sains Islam Malaysia

KURSUS KENAIKAN PANGKAT SARJAN KRS (NEGERI KEDAH)

MODUL AKTIVITI KEROHANIAN / MORAL


1.  PENGENALAN

     Kerohanian dan moral adalah merupakan kurikulum teras dalam kurikulum Kadet

     Remaja Sekolah (KRS). Setiap aktiviti yang dijalankan mestilah dikaitkan atau

     dihubungkan dengan aspek kerohanian dan moral.

 2.  MATLAMAT

     Melahirkan pemimpin dikalangan pelajar yang berketrampilan dari sudut lahiriah dan  

     mantap dengan jati diri dalaman.

 3.  OBJEKTIF

     3.1  menyediakan satu garis panduan pelaksanaan modul kerohanian Pegawai Waren

     3.2  melahirkan pelajar yang sempurna dari sudut Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek

     3.3  mempraktikkan kurikulum kohanian dan moral dalam kurikulum KRS

     3.4  memastikan pelajar mentaati ajaran agama dan nilai-nilai murni dalam kehidupan.


4.  PELAKSANAAN

     4.1   kaedah pelaksanaan 

             Dijalankan sepanjang masa kursus. Item kerohanian hanya akan dilaksanakan

             oleh pelajar Islam, manakala item moral adalah untuk  pelajar bukan Islam.

      4.2   Item kerohanian (pelajar Islam sahaja)

            Menjawab secara lisan/bacaan/amali

             a.  Rukun Solat

             b.  Bacaan dalam solat

             c.  Wirit/Doa lepas solat (ringkas)

             d.  Mandi wajib

             e.  Rukun Iman/Islam

             f.   Sifat 20/Asmaulhusna

             g.  Bacaan ayat Lazim

             h.  Sifat wajib bagi rasul

             i.   Nama para sahabat / Nabi

             J.   Doa harian


    4.3   Item moral (pelajar bukan Islam)

 Penerangan secara lisan tentang semua tajuk di bawah.

             a.  kebersihan

             b.  keluarga bahagia

             c.  alam sekitar

             d.  kepentingan menuntut ilmu

             e.  belia benci dadah

             f.   keselamatan jalan raya

            g.   adab dengan rakan

             h.  adab dengan guru/jurulatih

             i.   adab dengan ibu bapa

              j.  kekemasan diri
       
     4.5.  keperluan jurulatih

             a.  jumlah yang mencukupi: seorang bagi setiap lokasi aktiviti atau

 b.  seorang jurulatih akan berada bersama satu kumpulan untuk sepanjang kursus

             c.  jurulatih bagi aktiviti tersebut yang membuat penilaian bagi setiap kumpulan

                  yang tiba dilokasi tersebut.

      4.6   kaedah pemarkahan

             a.  markah akan diberikan kepada setiap pelajar yang terlibat berpandukan ujian 

                  lisan yang dijalankan mengikut keperluan kad ujian/borang pemarkahan yang

                   telah ditetapkan.

             b.   Pengujian secara berasingan bagi pelajar Islam dan pelajar bukan Islam.

5.  PENUTUP

     Adalah diharapkan  melalui penilaian ini akan membimbing pelajar membentuk

     jati diri dalaman disamping pemantauan yang berterusan dari jurulatih

     supaya dapat melahirkan bakal Sarjan  yang berketrampilan dan berakhlak

     mulia yang akan membantu mengarahkan hala tuju KRS diperingkat negeri ke

     landasan yang sebenar.

ISTIADAT DAN TATACARA KADET REMAJA SEKOLAH

Sebagai sebuah badan beruniform, Kadet Remaja Sekolah mempunyai istiadat dan tatacara yang perlu dipraktikkan di peringkat sekolah, daerah, negeri mahupun kebangsaan. Perlu diingatkan bahawa KRS telah diterima pakai oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai pasukan peneraju bagi semua pasukan beruniform di sekolah. Oleh itu beberapa perkara berikut perlu diberi perhatian semasa melakukan upacara/istiadat beruniform di sekolah-sekolah, iaitu:-

a.             Pelajar/pasukan  KRS mengetuai perbarisan/upacara beruniform.

b.             Pengetua & Penolong Kanan Kokurikulum memakai uniform KRS dalam setiap upacara rasmi badan-badan beruniform.

Pembentangan tajuk ini bertujuan memberi kefahaman dan panduan kepada peserta dalam:-

a.             memainkan peranannya agar bersesuaian dengan jawatan sebagai  Komandan KRS/TKRS sekolah semasa beruniform, dan

b.             memberi nasihat/panduan kepada guru dalam melaksanakan istiadat beruniform.(rujuk lampiran)



Keperluan Pemakaian Mengikut Acara.

      1.         Uniform No. 2          - Majlis/upacara rasmi.

2.         Uniform No. 3          - Pakaian pejabat (boleh digunakan semasa sesi  Persekolahan/mesyuarat dll)

3.         Unifom No.4            - Pakaian Latihan

Beberapa Peraturan Semasa Beruniform.

1.             Memakai uniform dengan betul.

a.             Memakai beret/peak cap/bowler hat semasa:-

-                      Melalui pintu kawalan/gate

-                      Berjalan semasa beruniform

-                      Berada dalam majlis rasmi

-                      Memberi ucapan, membuat perasmian dll.

b.             Menanggalkan beret/peak cap/ bowler hat semasa:-

-                      Makan

-                      Di tandas

-                      Bekerja  dalam pejabat/kelas

2.             Memberi dan menerima hormat dengan betul.

a.             Memberi hormat kepada pangkat atasan.

b.             Membalas hormat kepada pangkat bawahan.

Praktikal.

i.              Cara hormat KRS

ii.             Hormat semasa berdiri (berhenti)                  – dengan/tanpa tongkat

iii.            Hormat  semasa berjalan                              - dengan/tanpa tongkat

iv.            Menerima hormat semasa duduk      

3.             Membawa dan menggunakan tongkat dengan betul.

a.             Bimbit tongkat

b.             Kepit tongkat.

c.             Rusuk tongkat

d.             Memegang tongkat semasa duduk

e.             Meletak tongkat dan peak cap/ bowler hat di meja yang dikhaskan di dewan makan (majlis rasmi).

SIKAP & PERIBADI

          DISIPLIN

          TEGAS

          GIGIH

          JUJUR

          ADIL

          WIBAWA

          IKHLAS

          BERTANGGUNGJAWAB

          DEDIKASI

          AMANAH

          SABAR

          TABAH

          YAKIN AKAN KEBOLEHAN DIRI SENDIRI

PENAMPILAN DIRI

          BAHAGIAN MUKA: BERCUKUR RAPI,MISAI DAN JANGGUT DIDANDAN RAPI, BULU HIDUNG DIPOTONG, GIGI DIGOSOK

          RAMBUT PENDEK DAN NIPIS

PAKAIAN KEPALA

          BERET / PEAK CAP HENDAKLAH DIPAKAI DENGAN BETUL

          LENCANA BERET BERTENTANGAN DENGAN MATA KANAN

          TEPI BERET DUA JARI DARI KENING   KANAN

          TUDUNG DIMASUKKAN KE DALAM BAJU (PEREMPUAN)

 BAJU

          BAJU HENDAKLAH KEMAS & DISTERIKA

          POKET HENDAKLAH DIKOSONGKAN

          LEBIHAN BENANG-BENANG JAHITAN HENDAKLAH DIPOTONG

          LENCANA DAN PANGKAT / AKSESORI HENDAKLAH DIBERSIHKAN DAN DIPASANG DENGAN BETUL

          LANYARD KEMAS

 TALI PINGGANG

          MESTILAH DIPAKAI DENGAN KEMAS DAN KETAT

          BUCKLE HENDAKLAH BERKILAT & BERADA DI TENGAH-TENGAH   DI HADAPAN SEJAJAR DENGAN BUTANG BAJU

          HUJUNG TALI TIDAK KELIHATAN


KASUT

          HENDAKLAH BERSIH DAN BERKILAT

          TALI KASUT DIIKAT KEMAS DAN HUJUNG TALI TIDAK KELIHATAN

          KASUT POTONG BERSTOKIN HITAM

Rujukan:

            Sekteriat Pengurusan
            Kadet Remaja Sekolah
            Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu