Khamis, 8 Disember 2011

HANYA TINGGAL SEJARAH.....

Lesung Batu

Lesung batu diperbuat daripada batu tunggal (monolith). Ia mempunyai anak batu yang digunakan sebagai penumbuk dan bekas penumbuk yang lompang dipanggil ibu. Ianya digunakan untuk menumbuk bahan dalam kuantiti yang sedikit seperti cili, rempah, kacang dan kerisik untuk kegunaan harian.





Nyiru
Nyiru juga bermaksud badang, ayakan, tampian, tampah dan penampi. Nyiru lazimnya diperbuat daripada buluh atau rotan, berbentuk bujur atau bulat, beranyam rapat dan bingkainya beranyam tulang belut. Di negeri-negeri Pantai Timur, nyiru juga dikenali sebagai badang. Nyiru juga mempunyai nama, jenis dan bentuk yang berbeza bergantung kepada jenis bahan yang digunakan serta kegunaannya. Bentuk yang terdapat ialah bulat, bujur dan bersegi tiga.
Nyiru bentuk bujur diperbuat daripada kulit buluh dan digunakan oleh petani untuk menampi padi, iaitu mengasingkan padi daripada hampa. Proses ini dikenali juga sebagai mengangin padi. Melalui kaedah ini, padi diletakkan di dalam nyiru dan ditampi mengikut arah angin. Dengan cara ini, hampa akan jatuh ke tanah atau terbang ditiup angin. Hasilnya, hanya padi yang tinggal di dalam nyiru.
Kegunaan lain ialah sebagai bekas tampi padi atau beras, juga sebagai tempat untuk menjemur ikan. Nyiru juga digunakan untuk membersihkan antah daripada beras sebelum ditanak. Selain daripada itu, ia digunakan untuk mengasingkan beras dan antah, menjemur bahan makanan seperti pisang, kerepek ubi, tepung, gula yang telah ditumbuk.


Lihat betapa kemasnya jalinan rotan yang digunakan dalam penghasilan nyiru

Komen dari webmaster: mengapakah pepatah " kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan". Sebagaimana yang kita tahu nyiru berguna untuk mengasingkan antara yang baik dan tidak baik. Mengasingkan antah dari beras. Justru itu, masyarakat Melayu dahulu menggunakan nyiru dalam perumpaan mereka kerana biarpun mereka menerima apa sahaja tetapi tetap akan mengasingkan yang buruk dari yang baik. Bukan menerima membabi buta. Sebagai masyarakat moden, kita tidak seharusnya mengubah apa yang telah direncanakan oleh masyarakat dahulu seperti kecil tapak tangan, padang kami tadahkan. Biarpun dalam bentu jenaka tapi kita harus tahu mengapa peribahasa ini dicipta oleh masyarakat lama.

Lesung Tangan

Lesung adalah satu alat untuk menumbuk atau menghancurkan sesuatu, contohnya padi, beras, gula, cili dan lain-lain. Dari segi definasinya, lesung juga dipanggil lumpang.

Lesung tangan diperbuat daripada kayu. Ia terdiri dari dua peralatan yang berbeza iaitu lesung yang ditengah-tengahnya lompang dan mempunyai penumbuk yang diperbuat daripada kayu dikenali sebagai antan atau alu. Alu ialah sebatang kayu bulat berukuran garis pusat kira-kira 8-10 sentimeter dengan ketinggian lebih kurang 150 sentimeter. Dibahagian tengahnya iaitu tempat memegang berukuran 6 sentimeter. Lesung ini biasanya digunakan untuk menumbuk padi dijadikan beras, beras untuk dijadikan tepung, padi pulut dan buah belinjau untuk dijadikan emping dan juga menbuat gula pasir untuk dijadikan gula halus. Ianya boleh ditumbuk secara bersendirian, berdua atau bertiga.




Tudung Saji
Tudung saji merupakan hasil kraftangan masyarakat Melayu yang kebiasaannya dihasilkan daripada daun mengkuang, pandan, rotan atau buluh. Terdapat juga tudung saji daripada mengkuang yang disalut dengan kain baldu. Rotan atau buluh yang dibentuk bulat akan dijadikan kerangka tudung saji. Benangnya pula dihasilkan daripada rotan yang telah diraut halus. Daun mengkuang, pandan atau buluh yang telah diraut akan dianyam seperti tikar. Satu bucu yang tajam dihasilkan dengan melengkungkan anyaman tersebut. Bucu yang tajam inilah menjadikan anyaman berbentuk tudung saji. Tudung saji akan dicorakkan dan diwarnakan selepas dibentuk dengan pilihan warna yang dikehendaki. Namun ada juga daun pandan atau mengkuang yang sudah diproses dibubuh pencelup dahulu sebelum ia dibentuk dan dianyam.




Sumber dari: perpustakaan negara Malaysia