Rabu, 14 Disember 2011

Rundingan Damai Baling 1955

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Rundingan Damai Baling merupakan perundingan di antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Parti Komunis Malaya (PKM). Rundingan ini diadakan di Baling English School (sekarang Sekolah Kebangsaan Tunku Putra) di Baling, Kedah Darul Aman, Malaysia pada 28 dan 29 Disember 1955.
Rombongan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu terdiri daripada Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock, David Marshall dan Hamid Jumat sementara rombongan PKM terdiri daripada Chin Peng, Chen Tien dan Rashid Maidin.

Sebelum rundingan
Kerajaan Perikatan berjaya dalam pilihan raya di Tanah Melayu pada bulan Julai 1955. Pada bulan September 1955, kerajaan menabur 40 juta risalah "Tawaran Menyerah Diri" serta 12,000 pas pengampunan beramai-ramai ke dalam hutan melalui kapal terbang. Tawarannya berbunyi: "Kalau kamu menyerah diri, keluar dari hutan, kamu tidak akan dihukum kerana kesalahan yang kamu lakukan berhubung darurat."
Pada September 1955, sepucuk surat dihantar oleh Parti Komunis Malaya dan ditandatangani oleh Ng Heng dari Kampung Kelian Intan, Keroh di Perak. Surat itu menyatakan tawaran rundingan kepada Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman. Ng Heng sebenarnya ialah nama samaran Chin Peng.

Rundingan

Dari kiri Rashid Maidin, Chin Peng dan Chen Tien pada sesi rundingan di Baling pada tahun 1955
Pertemuan awal dibuat di antara kerajaan yang diwakili Timbalan Menteri Pelajaran Too Joon Hing dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Tanah Melayu Ian C Wylie, manakala PKM oleh Chen Tien. Tiga rundingan awal berlangsung di Kampung Kelian Indan sehingga bulan November 1955.
Proses rundingan di antara Kerajaan Perikatan dengan PKM kemudian berlangsung selama dua hari pada 28 & 29 Disember di Baling, Kedah. Chin Peng berjanji meletakkan senjata jika PKM diiktiraf dan kebebasan mereka tidak disekat. Tunku bagaimanapun menegaskan PKM harus menyerah kalah.
Tawaran Chin Peng juga tidak dihiraukan oleh Kerajaan Perikatan kerana PKM sudah lemah. Lagipun kerajaan dengan bantuan tentera negara-negara Komanwel hampir melumpuhkan pemberontakan bersenjata komunis di dalam hutan. Rundingan dengan komunis yang mahu PKM diiktiraf sebagai sebuah parti bebas tentulah tidak wajar.
Tiada kata sepakat dicapai selepas rundingan kerana PKM enggan menerima pelan damai kerajaan dan meneruskan gerakan bersenjata. Tunku telah menarik balik tawaran pengampunan pada bulan Februari 1956.

Kesan

Proses rundingan di Baling itu boleh dianggap sebagai antara usaha terakhir Kerajaan Perikatan menyakinkan pihak British bahawa rakyat tempatan layak memerintah dan bersedia untuk menuntut kemerdekaan. Selepas beberapa hari pertemuan bersejarah itu berlangsung, Tunku terus berangkat ke London untuk meneruskan rundingan kemerdekaan dengan British.
Setiausaha Antarabangsa DAP dan Ketua Bureau NGO, Ronnie Liu Tian Khiew dalam laman web DAP pada 5 Ogos 2005, mendakwa bahawa Chin Peng adalah salah satu faktor memaksa pihak British memberikan kemerdekaan kepada Malaysia. Tetapi ada pihak yang berpendapat bahawa cadangan Liu itu adalah kurang tepat kerana Parti Komunis Malaya sudahpun lemah dan terpaksa memohon perundingan dilakukan pada 1955. Malah, pihak kerajaan yang mengetahui kelemahan Parti Komunis Malaya menolak permintaan langsung Parti Komunis Malaya agar dibenarkan bergerak sebagai sebuah parti politik.
Selain itu, sekiranya Parti Komunis Malaya memberi tekanan kepada pihak British, sudah pasti pihak British tidak akan melepaskan Tanah Melayu untuk merdeka kerana sekiranya Tanah Melayu jatuh ketangan komunis, ini akan menjejaskan bekalan bahan mentah yang amat diperlukan British bagi membangunkan semula industri mereka selepas Perang Dunia II.