Khamis, 8 Disember 2011

SIPITANG

Mengimbau sejarah ringkas mengenai daerah Sipitang, sebelum bulan November 1884, kawasan ini telah dinaung oleh Kesultanan Brunei. Namun, pada 5 November 1884 kesultanan ini telah menyerahkan kawasan jajahannya dari Sipitang ke Kuala Penyu kepada Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBBU). Penyerahan ini berikutan sogokan yang diberikan oleh Gabenor SBBU, William Treacher kepada pihak Istana Brunei. Pada 7 September 1901 pula, pemerintahan Brunei menyerahkan kawasan dari Sungai Sipitang hingga ke Sungai Trusan kepada SBBU. Berikutan itu, SBBU memperoleh kawasan Mengalong dan Merintaman di Sipitang pada 12 September 1901. Geran kawasan yang telah diserahkan kepada pihak SBBU diperoleh daripada Pangiran Tengah Damit Al-Marhum Pangiran Anak Bongsu. Mengikut sejarah ringkas, kawasan-kawasan tersebut telah diperoleh secara berasingan oleh Pangiran-pangiran Brunei dan ia menjadi milik persendirian mereka. Oleh itu, geran-geran tanah yang diberikan kepada pihak SBBU tidak terletak di bawah kuasa pemerintahan Kesultanan Brunei.
Sungai Sipitang menandakan sempadan British Borneo Utara dan Kesultanan Brunei sehingga tahun 1900. Pada tahun 1901, setelah SBBU memperoleh tanah dari Sungai Sipitang ke Sungai Trusan. Sebuah pejabat pentadbiran ditubuhkan di Sipitang dan kawasan tersebut dinamakan Province Clarke. Penubuhan pejabat ini dibuat bagi membesarkan lagi kawasan jajahan SBBU. Bagaimanapun, keadaan politik pada tahun-tahun berikutnya menyebabkan SBBU menjual kembali beberapa buah kawasan berdekatan dengan Sungai Trusan dan sempadan Borneo utara menyusut ke Mengalong dekat Sindumin.
Di bawah pentadbiran negeri Sabah, daerah Sipitang kini telah berkeluasan 2,732.49 kilometer persegi atau 273,249.69 hektar. Sipitang mempunyai kawasan hutan simpan yang besar iaitu 73.6 kilometer persegi. Pekan Sipitang yang berkeluasan 303.3 hektar merupakan pusat pentadbiran daerah ini. Pekan Mesapol merupakan pekan yang kedua terbesar dengan keluasan 134.7 hektar disusuli pekan Sindumin yang berkeluasan 5.2 hektar. Kedudukan deerah Sipitang agak strategik kerana terletak bersempadan dengan daerah Beaufort di utara, daerah Tenom di timur dan negeri Sarawak serta Kalimantan Indonesia di bahagian selatan. Lokasi daerah ini juga agak baik kerana di bahagian baratnya berjiran dengan Wilayah Persekutuan Labuan dan negara Brunei Darulsalam. Pekan Sipitang terletak sejauh 44 kilometer dari daerah Beaufort dan 144 kilometer dari Kota Kinabalu

Amukkan Meligan
Di sebalik keindahan dan kedamaian kampung Meligan yang dikatakan sudah pun wujud sejak zaman sebelum merdeka lagi, tentunya tersemat pelbagai kisah dan peristiwa yang mampu merungkap jawapan di balik keunikan nama serta khazanah alam yang maha indah ini. Meskipun ia lebih kepada mitos, adanya bukti-bukti yang terdapat di sekitar kawasan kampung ini mengukuhkan lagi segala cerita yang telah disampaikan oleh generasi terdahulu. Sejauh mana kebenarannya tidaklah dapat dipastikan, apa yang pasti penduduk di sini hidup berdasarkan kisah-kisah dongeng serta bukti-bukti yang terdapat di depan mata mereka sejak zaman berzaman.
Dikatakan nama kampung ini diambil sempena nama seorang pahlawan yang bernama ‘Meligan’. Meligan adalah seorang pemuda yang cukup dikenali kerana paras rupa yang menawan, kepakaran menyelam dalam air dan yang paling gah adalah kepakaran memburu. Namun pada suatu hari Meligan telah membuat huru hara dengan menyerang ‘orang Kandi’ atau orang ghaib. Bagi Meligan ‘orang Kandi’ tersebut berbahaya walhal sebenarnya ‘orang Kandi’ tersebut bukanlah ancaman seperti yang Meligan sangka.
Disebabkan ramai ‘orang Kandi’ yang mati terkena sumpitan Meligan, maka ‘orang Kandi’ yang masih hidup memburu Meligan untuk membalas dendam kematian mereka yang telah mati dek terkena panahan amukkan Meligan. Kesudahan cerita Meligan ini datang dalam pelbagai versi. Ada yang mengatakan Meligan disangkakan mati lemas oleh ‘orang Kandi’ kerana tidak timbul-timbul setelah menyelam dalam air, ada yang mengatakan Meligan berjaya diselamatkan oleh pokok buluh yang tidak ada ruas. Dipercayai warna merah daripada pokok buluh yang dipotong oleh Meligan tadi disangkakan darah Meligan oleh ‘orang Kandi’, dan secara tidak langsung mereka menyangka Meligan telah mati.
Selain itu juga, terdapat sebuah kawasan bersejarah yang terdapat di kampung ini. Kesan tapak kaki tujuh bersaudara yang terletak di belakang rumah Cikgu Baroh@ Davey sememangnya cukup menarik dan unik. Menurut cerita orang tua di kampung ini, dahulunya terdapat tujuh orang adik beradik yang sangat baik dan gagah perkasa. Mereka meratakan kawasan sungai yang berbatu-batu agar senang perahu melalui sungai dan memudahkan penduduk kampung mendapatkan air, kebaikan tujuh beradik tadi disanjung seluruh penduduk kampung namun dicemburui dan mengundang kemarahan Kalaun Kalala, penjahat yang paling dibenci di seluruh Meligan ketika itu.
Dek kerana hasad dengki dan amarahnya, Kalaun Kalala menyumpit adik bongsu tujuh beradik ini ketika mereka sedang asyik meratakan kawasan sungai tersebut, menyedari akan ia perbuatan kejam Kalaun Kalala maka tujuh bersaudara tadi mengejar Kalaun Kalala untuk membalas dendam. Aksi kejar mengejar tersebut berakhir dengan kematian Kalaun Kalala. Disebabkan kawasan sungai tersebut ketika itu berbatu-batu dan agak tinggi maka sewaktu adegan kejar mengejar di antara tujuh beradik dengan Kalaun Kalala tadi banyaklah aksi lompat melompat.
Kesan lompatan tujuh bersaudara tadi secara tidak sengaja terbentuk di sebuah batu dan boleh dilihat sehingga ke hari ini. Selain dari kesan tapak kaki tujuh bersaudara yang terdapat di sebuah batu, kejadian sungai yang penuh dengan batu-batu besar dan tinggi masih boleh dilihat sehingga ke hari ini. Hanya kawasan sungai yang terdapat di sekitar Sungai Meligan sahaja yang agak rata dan luas daripada batu besar. Kawasan Sungai Meligan yang dapat disaksikan hari ini dipercayai adalah tinggalan kerja tujuh bersaudara tadi yang tergendala kerana perbuatan Kalaun Kalala.












 (Kemas kini: 13 Julai 2009 - Oleh: Noraini Mahyan)
Dipteik dari: http://telecentre.my/kampungmeligan/index.php/ms/galeri.html
Gambar-gambar dari:http://mykembara.blogspot.com/2008/12/trip-to-sipitangsabah.html