Khamis, 15 September 2011

PERTOLONGAN CEMAS

 Pengertian Pertolongan Cemas

Pertolongan atau bantuan segera yang bersifat sementara diberikan kepada mangsa yang mengalami kemalangan atau kecederaan dengan segala kemudahan yang terdapat di tempat kejadian sebelum ketibaan bantuan perubatan atau sebelum mangsa mendapat rawatan perubatan yang sempurna. Tujuan-tujuan Pertolongan Cemas

a) Membantu menyelamatkan nyawa mangsa. b) Mengelakkan mangsa dari kecederaan yang lebih teruk. c) Membantu mengurangkan kesakitan atau kesengsaraan mangsa. Sifat-sifat Pemberi Pertolongan Cemas Yang Baik

a) Mempunyai kepercayaan kepada diri sendiri di dalam mengendalikan kes-kes kecemasan. b) Pantas ikhtiar menggunakan segala kemudahan yang terdapat di tempat kejadian atau sekelilingnya. c) Tajam perhatian di dalam mengenali tanda-tanda dan gejala sesuatu kes. d) Mempunyai sifat bertimbang rasa kepada mangsa. e) Tidak mempunyai sikap memilih bangsa atau keturunan semasa memberi keutamaan rawatan mangsa. f) Bersifat lemah lembut semasa memberi bantuan agar dapat mengurangkan kesakitan si mangsa. Tugas-tugas Ahli Pertolongan Cemas

a) Menyelamatkan mangsa secara permulihan pernafasan CPR jika pernafasan mangsa terhenti, menahan pendarahan dan mengelakkan mangsa dari terjadi renjatan. b) Membalut luka dengan kain yang bersih supaya dapat mengelakkan dari jangkitan kuman. c) Memberi sokongan di bahagian yang cedera terutamanya patah dengan tuap atau anduh supaya bahagian yang cedera berkeadaan tetap dan tidak bergerak. d) Elak mangsa dari mengalami renjatan. e) Beri semangat kepada mangsa agar sentiasa berada dalam keadaan tenang. f) Atur bantuan agar mangsa mendapat rawatan perubatan. Pengendalian Mangsa Kemalangan

a) Memberi bantuan dengan tenang dan pantas. Jangan panik semasa menghadapi keadaan. b) Beri semangat kepada mangsa agar berada dalam keadaan tenang. c) Uruskan bantuan supaya mangsa mendapat bantuan perubatan dengan segera. d) Lapor kejadian kepada pihak polis jika perlu. Peraturan-peraturan Semasa Memberi Bantuan
a) Membuat penilaian keadaan, - Menentukan keselamatan diri dan mangsa dalam keadaan selamat. - Kemudahan-kemudahan yang terdapat seperti telefon bagi kemudahan mendapatkan bantuan. - Dapat menilai keterukan/keparahan mangsa

 b) Membuat diagnosa – mendapatkan sejarah kejadian, tanda-tanda gejala, keadaan sekeliling yang boleh dijadikan bukti serta menjalankan pemeriksaan ke atas kecederaan mangsa.

c) Memberi rawatan sementara – menjalankan rawatan mengikut prinsip dan memberi keutamaan kepada mangsa yang teruk.

d) Membuat dan memberi laporan – mengikut sejarah, kecederaan, pernafasan, nadi, kesedaran dan rawatan yang telah dilakukan ke atas mangsa.

Peringatan !!!

a) Elakkan dari melakukan bantuan yang berlebihan dari yang sepatutnya supaya dapat mengelakkan mangsa menjadi lebih teruk.

b) Jangan tanggalkan pakaian mangsa terutama mangsa yang tidak sedarkan diri. Lakukan dengan hanya melonggarkan sahaja mana-mana bahagian yang ketat.

c) Cuba dapatkan bantuan perubatan seberapa segera.

d) Lakukan bantuan berdasarkan landas-landas selamatkan nyawa, pendarahan dan kecederaan patah.

e) Beri kerjasama kepada pihak polis atau perubatan jika bantuan diperlukan.