Rabu, 23 November 2011

Istana Lama Seri Menanti

BAHAN UNTUK KETATANEGARAAN

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
    
Istana Seri Menanti
Istana Seri Menanti di Kuala Pilah, Negeri Sembilan ialah istana yang dirujuk lazimnya dalam konteks ini adalah sebuah binaan/bangunan lama yang masih utuh, lagi diperbuat daripada kayu yang menjadi kediaman rasmi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sekitar tahun 1900-an. Kini, memandangkan ia suatu warisan sejarah, istana itu telah berubah "peranannya" menjadi muzium. Bangunan ini didirikan mengikut senibina masyarakat Minangkabau.
Istana Lama Seri Menanti ialah istana yang unik diperbuat daripada kayu. Dibina pada 1902 dan siap pada tahun 1908 kerana Istana Pulih telah dibakar oleh askar-askar Inggeris semasa mengejar Yamtuan Antah ketika berlakunya peperangan Bukit Putus. Istiadat perasmian istana ini telah dilakukan oleh DYMM Yang di-Pertuan Muhammad Ibni Almarhum Yamtuan Antah. Baginda telah bersemayam di istana ini sehingga tahun 1931 dan baginda berpindah pula ke istana baru yang dibina berhampiran dengan istana lama.
Istana ini setinggi empat tingkat. Pelan asalnya telah direka oleh dua orang tukang Melayu bernama Kahar dan Taib. Tukang Kahar telah dianugerahkan gelaran Dato' Panglima Sutan oleh Tuanku Muhammad kerana khidmat beliau. Pelan istana ini telah diperincikan semula oleh Ketua Pelukis Pelan, Mr. Woodford dari Jabatan Kerja Raya, Seremban dan telah diluluskan pada bulan November 1902 oleh Jurutera Negeri dan Residen British.
Istana ini mempunyai 99 batang tiang termasuk empat batang tiang seri yang panjangnya 67 kaki. Keempat-empat tiang ini telah diambil dari Bukit Pergai, Jelebu. Kayu-kayu lain diambil dari Bukit Tinggi iaitu jenis kayu penak. Keunikan istana ini ialah ia tidak menggunakan sebarang paku besi tetapi pakunya diperbuat daripada kayu yang dipanggil pasak. [1]. Pasak kayu keras digunakan bagi menyambungkan papan. Atap istana ini mewakili tanduk kerbau. Tanduk kerbau dianggap sebagai lambang keamanan.
Istana Seri Menanti atau "Istana Lama"
Istana ini telah digunakan untuk upacara mengadap yang diadakan tiga tahun sekali. Pada tahun 1926, Pesuruhjaya Tinggi, Sir Lawrence Gullmard telah turut hadir dalam upacara tersebut.
Istana ini juga pernah digunakan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan untuk dijadikan Sekolah Menengah Agama Tinggi pada tahun 1959 sehingga tahun 1964. Kemudian istana ini dibiarkan kosong tanpa penghuni sehingga pada tahun 1992. Atas kesedaran DYMM Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, istana ini dengan rasminya diwartakan sebagai 'Muzium Diraja'. Perasmiannya telah dilakukan pada 14 Julai 1992 bersamaan 14 Muharram 1413 Hijrah. Pengurusan Muzium Diraja ialah di bawah pentadbiran Lembaga Muzium Negeri, Negeri Sembilan.
Mulai saat inilah Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti telah bertukar wajah dengan mempamerkan koleksi-koleksi keluarga Diraja. Setiap ruang telah diisi tanpa mengubah bentuk asal istana bagi menerangkan fungsi ruang-ruang tersebut. Penambahan bahan koleksi Muzium dilakukan dari semasa ke semasa dengan kerjasama pihak istana.