Rabu, 30 November 2011

PULAU BESAR MELAKA

FAKTA MENARIK TENTANG PULAU BESAR, MELAKA

Pulau Besar mempunyai keluasan kira-kira 168 hektar dan merupakan pulau yang terbesar sekali di Melaka.· Ia merupakan sebuah pulau di luar pantai Melaka. Terletak 15kmpulaubesar02 daripada Bandar Melaka serta dihubungkan melalui pengangkutan air. Terdapat kemudahan feri· disediakan di antara Tanah Besar iaitu di Jeti Anjung Batu dan juga kemudahan bot yang boleh disewa di Jeti Umbai, Melaka. Banyak lagenda dikaitkan dengan pulau ini.

Pulau Besar dari jauh kelihatan seperti seorang wanita hamil yang sedang berbaring. Pulau Besar dikatakan penuh dengan sejarahnya yang menjadi daya tarikan pelancong tempatan dan luar negara khususnya bagi mereka daripada keturunan India Muslim Malaysia dan Singapura.

Di antara tempat pelancongan yang menjadi tumpuan adalah seperti Makam Sultan Al-Ariffin Syeikh Ismail, Makam Syarifah Rodziah, Makam Saiyid Ibrahim (R.A), Batu Tengkorak, Pokok Disula, Tasik Biawak, Batu Belah, Keramat Masin Tawar, Istana Bunian, Perkampungan Bunian, Gua Yunus, Keramat Ular, Makam Nenek Kebayan, Makam Tok Janggut, Makan Seribu, Makam Tujuh Beradik, Makam Nisan Satu, Tapak Kaki Sultan Arifeen dan sebagainya.

Pulau ini dianggap suci oleh orang-orang tempatan dan pelancong dinasihatkan untuk berkelakuan baik apabila berada di pulau ini. Terdapat chalet dan gerai-gerai yang disediakan bagi pelancong agar mereka dapat menikmati pantai yang cantik dan pemandangan yang indah.

PERIGI KAKI BUKIT


Ddipercayai digunakan oleh orang Jepun untuk memancung kepala orang-orang Cina. Kepala yang telah dipancung akan dilemparkan ke dalam perigi ini. Perigi ini tidak pernah digunakan orang sehingga sekarang. Di kawasan sekitar perigi ini merupakan kawasan Panglima Hitam. Wajahnya serta anggota tubuhnya dipercayai berwarna hitam. Di kawasan ini juga merupakan salah satu tempat yang amat keras terutamanya pada waktu senja. Pernah suatu ketika dahulu sepasang kekasih duduk berdua-duaan di kawasan ini dan wanita tersebut diserang histeria.

BATU BELAYAR

Sebuah batu yang sederhana besar berbentuk seperti kepala kuda. Batu ini dikatakan pada asalnya terletak di dalam laut. Kemudian ianya terapung-apung di dasar laut dan tersangkut di Pulau Besar ini. Dipercayai batu ini juga di gunakan oleh 7 beradik untuk mengikat tali kapal mereka sebaik sahaja mereka berlabuh di Pulau Besar ini. Kini batu ini masih jelas kelihatan sebaik sahaja sampai di Pulau Besar ini. Ianya terletak berhampiran dengan Jeti Pulau Besar.

POKOK DISULA

Menurut apa yang telah diceritakan, dahulu terdapat sepasang kekasih yang sedang bercengkerama di bawah pokok ini. Maka di atas ketelanjuran mereka itu, mereka telah ditangkap dan di sula dibawah pokok tersebut. Jika diamati dengan teliti, kita akan dapati tangan kiri lelaki tersebut sedang memeluk pasangannya di bawah pokok tersebut.

MAKAM 7 BERADIK

Tujuh beradik yang dimaksudkan ialah tujuh orang bersaudara seperguruan. Mereka ini berasal dari Palembang. Mereka telah datang ke Pulau Besar dengan satu tujuan untuk mengembangkan ilmu persilatan. Setelah diteliti melalui firasat bahawa Pulau Besar ini sesuai untuk dijadikan penempatan dan mengembangkan ilmu persilatan maka mereka membuat keputusan memecahkan dinding kapal mereka untuk dibuat dinding rumah. Mereka mempunyai ramai pengikut dari seluruh nusantara. Tujuh bersaudara ini mempunyai ilmu yang sangat tinggi iaitu ilmu dunia dan akhirat. Sepanjang hidup mereka, ramai orang datang untuk mendapatkan pertolongan darinya dan apa yang berlaku adalah dengan keizinan daripada Allah swt.

MAKAM NENEK KEBAYAN

Sebuah makam lama yang dipercayai kubur Nenek Kebayan atau nama sebenarnya ialah Nenek Siti Fatimah. Jika sebut nenek kebayan orang akan mengaitkannya dengan pekerjaan beliau iaitu sebagai bidan kampung, penjual akar kayu, penjual bunga dan sebagainya. Dipercayai kubur nenek kebayan ini mempunyai keanehannya iaitu sebahagian kepala batu nesannya adalah batu nisan perempuan manakala dibahagian kakinya adalah batu nisan lelaki.

GUA YUNUS

Nama Gua Yunus diambil sempena nama orang yang pertama menjumpai dan menjadikan gua ini sebagai tempat pertapaan. Sehingga sekarang gua ini masih lagi digunakan orang sebagai salah satu tempat bertapa. Untuk masuk ke dalam gua ini, ahli pertapaan terpaksa menyelam ke dalam air kerana kedudukan pintu gua ini sebenarnya di dalam air. Dipercayai batu dinding gua ini semuanya berwarna putih.

KERAMAT ULAR

Dipercayai keramat seorang wali Allah yang menjelma sebagai seekor ular sawa. Barang siapa yang bernasib baik, dipercayai akan berjumpa dengan wali Allah tersebut yang membawa guni berisi arang. Apabila sampai di rumah arang itu akan bertukar menjadi barang yang berharga. Di sekeliling kawasan keramat ular terdapat pokok pandan yang boleh digunakan untuk membuat tikar.

KERAMAT TEMPAYAN PECAH

Suatu ketika dahulu, terdapat seorang nenek kebayan yang mempunyai tujuh orang anak lelaki. Setiap seorang mempunyai kelebihan yang tertentu. Pada suatu hari, nenek kebayan hendak keluar mencari akar kayu untuk dijadikan ramuan ubat-ubatan. Beliau berpesan kepada anak-anaknya supaya menyiram tanaman di kebun bunga dan herba. Hanya yang bongsu menyiram tanaman tersebut.

Proses menyiram adalah sangat rumit sehingga si bongsu ini terfikir untuk mengangkat air dengan menggunakan tempayan sahaja kerana beliau mempunyai kekuatan seperti ’Badang’. Ini bermakna dengan hanya sekali angkat sahaja dari perigi sudah dapat air satu tempayan. Suatu hari, sewaktu hendak menyiram, tempayan yang penuh berisi air itu terhempas. Si bongsu lantas terus mengorek lubang di tanah dan menanam tempayan yg pecah itu di dalam lubang tersebut. Tiba-tiba, terpancut mata air keluar di dalam tempayan yang pecah itu. Walaupun airnya keruh tapi ia tidak berbau. Sehingga sekarang perigi tempayan ini terus mengeluarkan air dan dipercayai tidak pernah kering.
MAKAM TOK JANGGUT

Dipercayai Tok Janggut ini berasal dari Acheh. Beliau telah datang ke Pulau Besar bersama rakannya iaitu Panglima Lidah Hitam. Beliau telah mengembangkan ilmu persilatannya di Pulau Besar. Orang ramai telah datang menemuinya untuk menuntut ilmu persilatan daripadanya. Apabila beliau meninggal dunia, beliau telah dimakamkan di Pulau Besar ini. Makam ini terletak berhampiran dengan Bothouse dan masih terus dikunjungi sehingga kini.

MAKAM NISAN 1

Makam Nisan Satu ini terletak berhampiran dengan Batu Tengkorak. Keanehannya, makam ini hanya terdapat satu batu nesan sahaja. Ianya dipercayai makam seorang pemuda yang sangat kacak dan tampan yang berumur dalam lingkungan 18-19 tahun. Namanya tidak dapat dikenalpasti.

TAPAK KAKI SULTAN ARIFFIN

Tapak kaki ini terletak di dalam kawasan Pusat Latihan IMM. Ada sesetengah pendapat menyatakan bahawa tapak kaki ini adalah kepunyaan Hang Tuah tetapi menurut cerita sebenarnya, tapak kaki ini adalah kepunyaan Sultan Arifeen. Tapak kaki yang terdapat di pulau ini adalah tapak kaki sebelah kanannya. Manakala tapak kaki kirinya terdapat di Pulau Serimbun.

MAKAM SERIBU

Ratusan tahun dahulu, dipercayai Pulau Besar didiami oleh ramai orang dan terdapat perkampungan di pulau ini. Terdapat sebuah tapak makam lama yang dipercayai makam penduduk pada ketika itu. Ianya terletak berhampiran dengan keramat tujuh beradik.
Menurut cerita, kini tapak makam itu hanya terdapat beberapa makam lama sahaja di kawasan sekitarnya tetapi dalam waktu-waktu tertentu kita akan dapat melihat seribu makam lama tumbuh bagai cendawan dari tanah.

MAKAM SYARIFAH RODZIAH
Dipercayai Syarifah Rodziah adalah antara keturunan Sultan Arifeen. Beliau adalah seorang wanita yang cantik dan berpegang teguh kepada ajaran Islam sehingga disaat-saat akhir hidup beliau. Beliau telah mengabdikan diri kepada Allah dengan menyendiri, berwirid dan berzikir. Akhirnya apabila beliau meninggal dunia, beliau telah dikebumikan di bahagian hadapan Makam Sultan Arifeen sebagai tanda penghormatan kepada beliau. 
PERIGI NENEK MUSALIMAH
Dipercayai seorang nenek yang tertua yang terdapat di Pulau Besar. Beliau juga merupakan seorang dukun dan bidan. Air perigi ini mempunyai azimat yang tertentu seperti untuk menyihatkan tubuh badan, pelaris dan boleh juga digunakan sebagai mandi bunga. Perigi ini terletak di dalam kawasan Pusat Latihan IMM dan bersebelahan dengan Hotel Chandekura, Pulau Besar, Melaka. 
 
Sumber:http://www.melaka.gov.my/bm/pelancongan-12subsektor/222-pulau-besar.html