Jumaat, 25 November 2011

Haji Abd. Rahman Limbong

Bahan Ketatanegaraan

Sumber daripada Wikipedia Bahasa Melayu


Nama lengkapnya ialah Haji Abdur Rahman bin Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Qadir atau lebih dikenali sebagai Haji Abdul Rahman Limbong. Lahir tahun 1285 H/1868M, meninggal dunia di Mekah, 1347 H/1929M. Datuk neneknya berasal dari Patani dan Terengganu.

Haji Abdul Rahman Limbong mendapat pendidikan asas ilmu-ilmu Islam sejak kecil di Mekah. Di antara gurunya ialah Haji Tun Muhammad, salah seorang ayah saudaranya. Ketika pulang ke Terengganu beliau mendapat pendidikan dari Haji Ya’qub dan Haji Musa yang tinggal di Paya Bunga dan seterusnya daripada Tok Ku Paloh. Haji Abdul Rahman Limbong juga seperti gurunya Tok Ku Paloh, adalah seorang pengamal Tarikat Sammaniyah.

Pendakwah

Setelah menguasai ilmu yang padu dan memadai, Haji Abdur Rahman Limbong aktif mengajar masyarakat di Hulu Terengganu. Kitab-kitab yang beliau ajar meliputi beberapa disiplin ilmu, antaranya ialah al-Ajrumiyah hingga kepada Mutammiman dan Tashil Nail al-Amani mengenai ilmu nahu, semuanya dalam bahasa Arab. Matn Umm al-Barahin, mengenai ilmu tauhid. Untuk lebih memantapkan juga diajarkan kitab-kitab tauhid bahasa Melayu, yang pasti tidak diabaikan ialah Faridah al-Faraid dan ad-Durr ats-Tsamin.

Kitab fekah bahasa Arab yang pernah diajarkan oleh Haji Abdur Rahman Limbong ialah Kitab Tahrir dan ilmu tasawuf ialah Hidayah as-Salikin dan ad-Durr an-Nafis kedua-duanya dalam bahasa Melayu.
Selain mengajar, Haji Abdur Rahman Limbong adalah seorang ulama yang suka mengembara atau merantau ke beberapa buah negeri di dalam mengembangkan syiar Islam. Antara tempat yang pernah menerima kunjungan beliau adalah Beserah dan Kuantan di Pahang, Kelantan, Patani, Kedah, Sambas di Kalimantan, Jambi dan Riau di Sumatera dan Brunei.
Dalam pelayaran di laut, Haji Abdur Rahman Limbong menggunakan perahu buatan orang Terengganu sendiri. Beliau berlayar bersama-sama dengan murid-muridnya dari Terengganu dan juga ahli pelayaran pada zaman itu, bahawa mereka telah menggunakan perahu-perahu yang berukuran besar yang boleh dimuat barang-barang antara 100 hingga 350 tan.

Pejuang

Dalam tahun 1920-an, Inggeris campur tangan untuk mentadbir tanah di lokasi Kuala Telemong hingga ke Ulu Telemong. Setiap ekar tanah yang dibuka oleh rakyat dikenakan cukai oleh penjajah Inggeris.

Sungguhpun Haji Abdur Rahman Limbong seorang ahli sufi, namun beliau juga bijaksana dalam selok belok persoalan dunia. Haji Abdur Rahman Limbong adalah seorang sufi yang pernah menjadi peguam. Ini dapat dibuktikan dengan berkali-kali beliau berhujah di mahkamah kerana membela rakyat yang disaman oleh pihak pemerintah Inggeris.

Haji Abdur Rahman Limbong dalam hujah-hujahnya di mahkamah bahawa tanah yang dibuka oleh rakyat itu adalah hak Allah bukannya hak negeri dan adalah tanah pusaka peninggalan orang-orang tua mereka yang datang dari Johor bersama-sama dengan Sultan Zainal Abidin I, Sultan Terengganu yang pertama.

Dibuang Negeri

Walau bagaimanapun, menurut laporan oleh H. W. Thomson dan J. L. Humphreys, Haji Abdur Rahman Limbong dan pengikutnya dilabel sebagai sebagai penderhaka kepada kerajaan Terengganu. Akhirnya Haji Abdur Rahman Limbong ditangkap dan dibuang ke Singapura dan selanjutnya dibuang ke Mekah dalam tahun 1928. Setahun kemudian, ulama pejuang Islam berbangsa Melayu itu meninggal dunia di sana.