Jumaat, 25 November 2011

ROSLI DHOBI- PEJUANG BERDARAH MELANAU

(Bahan ketatanegaraan)
Sumber daripada Wikipedia-Bahasa Melayu

Rosli Dhoby merupakan seorang pejuang kemerdekaan Sarawak daripada penjajah British. Beliau berketurunan Melanau.



Rosli didapati bersalah menikam sampai mati Gabenor British Sarawak yang kedua, Sir Duncan Stewart dengan menggunakan pisau beracun di Sibu pada 3 Disember 1949.Faktor yang menyebabkan beliau terpaksa mengakui tuduhan tersebut adalah atas permintaan ibu beliau kerana ibu beliau telah diugut akan ditembak. Selepas beberapa bulan dalam penjara di Kuching, Rosli akhirnya maut di tali gantung pada 2 Mac 1950. Turut sama digantung adalah rakan seperjuangannya Morshidi Sidek, Awang Ramli Amit Awang Matsaruddin dan Bujang Suntong.Kematian mereka berempat telah menyebabkan gerakan penentangan anti-kolonialis di Sarawak berakhir secara mendadak.
Mereka semua dikebumikan di situ juga, di Penjara Pusat Kuching, tanpa batu nisan di bawah tembok perkarangan penjara.Ini kerana Pihak British bimbang akan kebangkitan semula gerakan penentangan anti-Kolonial yang telah tamat secara mendadak selepas kematian mereka berempat.Setelah 46 tahun bersemadi di Tanah Perkuburan Penjara Kuching, Pada 2 Mac 1996, keempat-empat pejuang kemerdekaan ini dikebumikan semula dengan diberikan pengkebumian negeri di Makam Pahlawan Sarawak,berdekatan dengan Masjid Bahagian Sibu.Ketika itulah,Keempat-empat buah keranda yang mengandungi tinggalan jenazah mereka diselimuti dengan bendera negeri Sarawak,sebagai menunaikan salah satu daripada wasiat Allahyarham Rosli Dhoby.

Pada 2 MAC 1950, Rosli telah dihukum gantung sampai mati di penjara Kuching tanpa batu nisan..namun beliau telah dikebumikan semula pada 2Mac 1996 di Sibu.Ini adalah isi kandungan warkah terakhir Rosli Dhoby kepada keluarganya sebelum dihukum gantung
Warkah terakhir seorang pejuang
( sumber dari Saudara Muzaffarsaleh.com- Mohon perkongsian untuk digunakan oleh para pelajar)

Kepada ibu bapaku yang dimuliai dan ditaati serta dicintai siang dan malam.

1. Selamat berpisah anakanda ucapkan di atas kematian anakanda yang dahsyat. Janganlah diingat-ingat dan dirayukan kerana itu memang sudah nasib dan takdir anakanda yang tak dapat dielakkan dan dimungkirkan lagi.
2. Peliharakanlah adik dan kakak serta semua ahli kita - Berikan segala pelajaran sama ada `Sunat’ atau `Fardu’ kepada mereka.

3. Ampunilah dosa dan kesalahan anakanda dari merah tapak kaki dipelihara ayahanda dan bonda sehingga hari perpisahan anakanda. Dan halalkanlah makan minum anakanda.

4. Selimutilah jenazah anakanda dengan Panji Kebangsaan Sarawak.

5. Segala perkakas tulis menulis, buku dan pakaian anakanda itu, berikan semuanya kepada Adik Aini.

(Datuk Aini Dhoby adalah seorang pengasas Barisan Rakyat Jati Sarawak dalam tahun 1961 bersama dengan Tun Ahmad Zaidi, bekas Ketua Menteri Sarawak ketiga dan Yang Dipertua Negeri Sarawak keempat Tun Abdul Rahman Yaakub, dan Ketua Menteri Sarawak keempat Tan Sri Dr Abdul Taib Mahmud.

Barisan Rakyat Jati Sarawak atau BARJASA kemudian dinamakan Parti Bumiputra Sarawak dan akhirnya, Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak atau PBB)

6. Sementara anak kecil Fatimah, berilah dengan nama ROSLI sempena memperingati anakanda.

7. Sampaikan salam hormat dan maaf serta selamat dari anakanda kepada ibu tua dan bapa saudara anakanda.

8. Ayahanda dan bonda serta ahli keluarga sekalian janganlah lupa mengamalkan kebajikan dan mendirikan sembahyang untuk bekalan istimewa ke alam yang kekal.

Salam sembah dari anakanda.

Rosli Dhoby

1 Mac, 1950.