Rabu, 30 November 2011

KOTA DAN TEMPAT BERSEJARAH DI KEDAH

Kota Raja Bersiung


Kota ini terletak di Kampung Pinang Tunggal dalam daerah Kuala Muda, kira-kira 8km ke selatan bandar Sungai Petani. Berdasarkan kesan yang ada menunjukkan Kota Raja Bersiung ini lebih luas hingga sampai ke sebuah paya di Kampung Seberang Tok Soh.
Tidak dapat dipastikan dengan jelas Raja Kedah yang manakah membina Kota tersebut. Dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, tidak ada disebut Kota Raja Bersiung. Sementara dalam Hikayat Merong Mahawangsa ada catatan yang menyebut Raja Kedah yang bergelar Raja Ong Maha Perita Deria yang memakan darah manusia itu digelar Raja Bersiung membina Kota ini, yang disebut "Kota Aur". Aur bererti buluh iaitu sejenis buluh yang tumbuh di tepi sungai tersebut.

Kota Siputeh  

Kota Siputeh merupakan kota tertua di Negeri Kedah. Dibina pada tahun 1282M oleh Tunku Ahmad Ibni Sultan Muzzil Shah (Raja Muda Kedah). Kota ini merupakan benteng pertahanan bahagian utara Negeri Kedah daripada ancaman Acheh dan Siam.
Kota Siputeh dijadikan pusat pemerintahan bermula dari tahun 1323M, semasa pemerintahan Sultan Ibrahim Shah diikuti oleh lapan orang sultan Negeri Kedah.
Pada tahun 1626M, Sultan Rijaluddin Muhammad Shah (Sultan ke-13) telah memindahkan pusat pemerintahan dari Kota Si Putih ke Kota Naga. Kota ini terletak di Kampung Si Putih, Mukim Pering, Kubang Pasu.

Kota Padang Sejana

Kota ini terletak di Kampung Padang Sejana Mukim Naga lebih kurang 3km ke arah barat dari pekan Kepala Batas. Di dalam kota ini terdapat beberapa buah rumah, sebuah bekas kolam mandi dan beberapa buah makam bersejarah termasuk makam Panglima Tok Lidah Hitam. Kota ini bersambung dengan sebuah kota lagi yang dikenali sebagai Kota Rentang. Kota ini dibina dengan arahan Sultan Muzaffar Shah II yang memerintah Kedah kira-kira pada tahun 1547 hingga 1602.

Puncak Bukit Choras

Tempat ini adalah kesan-kesan asas sejarah yang tertua yang dijumpai di Malaysia. Letaknya di tebing sebelah selatan Sungai Sala. Sebuah daripada bangunan yang terdapat di situ ialah berhala yang berbentuk kubah. Ia berkemungkinan sebuah "stupa" yang berkaitan dengan pemujaan agama Buddha.

Kota atau Istana Tunku Kudin

Istana ini terletak berhampiran kaki Bukit Tinggi berdekatan dengan Sungai Bukit Pinang. Waktu itu sungai adalah menjadi nadi pengangkutan zaman silam di Kedah. Manisan lebah digunakan bagi menggantikan simen untuk membina istana tersebut. Kedudukan istana itu kira-kira 1.6km dari pekan Kepala Batas dan hanya 2.4km dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim manakala cuma 12.4km dari bandar DiRaja Alor Setar.

Kota Kuala Kedah

Kota Kuala Kedah terletak di sebelah kanan muara Sungai Kedah. Kedudukannya betul-betul di dalam Kampung Seberang Kota, kira-kira 11.6km dari bandar Alor Setar. Mulanya Kota Kuala Kedah dibina daripada tanah lumpur. Ianya menjadi tapak kubu yang tertua di Malaysia. Kanan muara Sungai Kedah dijadikan benteng pertahanan juga mengawal jajahan takluknya termasuklah jalan darat yang merentasi ke Telok Siam.
Dato Maharaja Kadhi Syeikh Abdul Jalil telah ditugaskan untuk membuat reka bentuk bangunan kota itu. Kerja-kerja pembinaan kota itu bermula pada 10 Safar 1185 (bulan Mei 1771). Kota ini siap dalam tahun 1194H (1780M).

Gua Kerbau

Terletak di Bukit Keplu, Kampung Kodiang Lama. Merupakan tempat perlindungan dan tempat merancang strategi peperangan semasa pemerintahan Tunku Anum untuk menentang Raja Ligor yang menyerang Kedah.
Gua Kerbau juga pernah menjadi tempat kediaman masyarakat purba. Berdasarkan pada penyelidikan dan penemuan, artifak yang ditemui di Gua Kerbau ialah alat-alat batu zaman neolitik serta tembikar berkaki tiga yang mempunyai persamaan dengan penemuan di Bukit Tenku Lembu Perlis dan Bankau di Thailand.

 Tapak Candi Bukit Batu Pahat

 
Tapak ini terletak di hulu sungai Merbok selatan Gunung Jerai. Ianya merupakan tempat aktiviti agama Hindu dalam kurun yang ke-6 hingga ke-8.

Istana Cik Spacendra

 
Istana ini terletak di Kampung Baru berhampiran Sungai Raja. Dibina pada tahun 1880 dan dijadikan sebagai Kampung Bharu Girls School Alor Setar. Dalam tahun 1940 istana ini digantikan sebagai "Nippon Go Shako" iaitu sekolah semasa pemerintahan Jepun di Kedah.

Sumber: Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah- Mohon perkongsian untuk kegunaan pelajar