Jumaat, 25 November 2011

KAWAD DALAM KRS DAN TKRS

(Sumber dari Buku Panduan KRS/TKRS-KPM)

SIFAT-SIFAT SESEORANG JURULATIH KAWAD
Seseorang jurulatih kawat hendaklah mempunyai sifat-sifat pemimpin dan pendidik seperti berikut :

 i.          Kesabaran menghadapi sesuatu.
ii.          Ketabahan hati dan semangat yang bersungguh-sungguh.
iii.         Mempunyai kemahuan untuk maju.
iv.        Bertanggungjawab.
v.         Berperikemanusiaan.
vi.        Taat setia yang tidak berbelah bahagi.
vii.       Tahu semua pergerakan dan pandai membetulkan kesalahan.
ix.        Memuji dan menegur kesalahan.
x.         Bijak menyelesaikan sesuatu masalah.
xi.        Berpakaian kemas dan bersih yang boleh dicontohi dan diteladani.
xii.        Mempunyai mutu disiplin yang tinggi.



KAWAD STATIK
BAHAGIAN SATU

SEDIA
Hukumannya :
 

            "Skuad ..............Sedia"


Perbuatan :

Dengan pantas angkat kaki kanan, peha 45 darjah dan hentak padat di sebelah kaki kiri supaya terdengar satu bunyi sahaja. Kedudukannya ialah kedua-dua tumit rapat dan sebaris; hujung kaki terbuka 30 darjah; kedua-dua lutut bertahan lurus; badan tegak; timbang keberatan badan antara tapak kaki dengan tumit; kedua-dua bahu tarik ke bawah dan ke belakang (supaya dada terbuka tanpa perlu dikeraskan) sama rata; kedua-dua tangan lurus ke bawah; kedua-dua siku rapat ke badan ; pergelangan tangan lurus; jari-jari genggam; belakang jari rapat ke paha, ibu jari lurus menghala ke bawah dan rapat kepada telunjuk serta di belakang sedikit daripada penjahitan seluar; langut kepala memandang terus ke hadapan.

Kesalahan Biasa

1.         Kedudukan yang terlalu kaku dan menyukarkan pernafasan.
2.         Berdiri tidak tetap serta mata bergerak.
3.         Kaki dan badan tidak lurus ke hadapan serta tumit tidak rapat.
4.         Tangan bengkok dan terjulur ke hadapan.
5.         Belakang tangan menghala ke hadapan atau pergelangan
             tangan mengerekot.
6.        Badan senget ke kiri atau ke kanan dan bahu tidak sama rata.
7.        Tidak memandang (200 meter) ke hadapan
8.         Tunduk atau mendongak.
9.        Semasa tumit atau hujung kaki dijatuhkan terdapat dua bunyi.

Ingatan:
Beri hukuman supaya bersedia sebelum  "Skuad ..............Sedia".


SENANG DIRI

Hukuman :
         

            "Senang ..................Diri"

 Perbuatan :

Dengan pantas angkat kaki kanan, peha 45 darjah  dan hentak ke sebelah kanan sejauh 12 inci.  Dalam masa yang sama kedua-dua tangan ke belakang dan letakkan belakang tangan kanan rapat di atas tapak tangan kiri, ibu jari bersilang, empat-empat jari bersusun lurus menuju ke bumi , siku lurus, dan keberatan badan di atas kedua-dua kaki. Masa angkat kaki kanan, kaki kiri mesti tegap dan tidak bergerak.

Kesalahan Biasa :
1.         Siku bengkok;
2.         Lutut tidak tegap dan tiada bertahan;
3.         Bukaan kaki kanan tidak cukup 12 inci;
4.         Menggerakkan kaki kiri menyebabkan rosak lurus barisan;
5.         Pinggang bengkok sewaktu mengangkat kaki kanan;
6.         Jatuh tumit atau hujung kaki dahulu.
7.        Bahu jatuh dan badan mengenjut.
 
 REHATKAN DIRI
Hukuman :
            "Rehatkan ................Diri"

 Perbuatan:
Dalam kedudukan senang diri, naikkan tangan dari punggung ke pinggang dalam satu pergerakan dan rehatkan semua anggota badan ( 1 , 2 , rehat ) Kedudukan kaki tidak berubah.

 Kesalahan biasa :

1.         Kedua kaki bergerak , menyebabkan hilang lurus barisan;
2.         Menggeliat dan bercakap-cakap.

Ingatan :

Dalam keadaan "Rehatkan ....... Diri" , Skuad dibenarkan melakukan pergerakan setakat pinggang ke atas sahaja.
Apabila dapat perintah "Skuad" dengan serta merta balik ke kedudukan senang diri.

 
 MASUK BARIS

Arahan masuk baris :

"Dengar sini semua sekali, apabila mendapat hukuman tiga barisan di hadapan saya gerak, skuad hendaklah sedia, berlari, berbaris dalam tiga barisan, di hadapan, di tengah-tengah, di mana saya mengadap. Faham itu skuad".
Hukuman :                
            "Tiga Barisan Di hadapan Saya ............. Gerak"

Perbuatan :
Semua anggota hendaklah sedia, berlari dengan pantas, berbaris dalam tiga barisan kira-kira 6 langkah di hadapan ketua/jurulatih iaitu setiap orang mestilah mengambil tempatnya, barisan hadapan, barisan tengah dan barisan belakang. Jarak di antara satu barisan dengan yang lain ialah 30 inci. Jarak di dalam barisan di antara seorang dengan yang lain ialah sekadar satu tangan  dan dalam keadaan sedia.

Kesalahan Biasa :
1.         Datang berbaris  tidak berlari
2.        Tidak melakukan perbuatan sedia sebelum berlari.
3.         Bercakap-cakap;
4.         Barisan terlalu rapat atau terlalu jauh daripada jurulatih.

MEMBETULKAN BARISAN
Hukuman:
               " Ke kanan ............ Lurus"

 Perbuatan:

Penanda kanan diam. Yang lain langkah* kaki kanan 6 inci ke hadapan dan angkat kaki kiri serta hentak disebelah kaki kanan, kedua - dua tangan lurus dan rapat ke badan. Diam dan kira masa sendiri (2-1). Kemudian palingkan muka ke kanan; melainkan anggota yang nombor satu dalam setiap barisan; serentak dengan itu anggota dalam barisan hadapan angkat tangan ke paras bahu melalui sebelah belakang anggota di kanannya, jari genggam dalam keadaan ibu jari  di kedudukan atas mencecah bahu  anggota  di sebelah kanan. Diam dan kira masa sendiri, (2-1), diikuti  dengan hentak kaki ”pendek – pendek” sehingga barisan lurus.

  Penanda kanan hendaklah diam. Anggota  di sebelah kanan barisan tengah dan barisan belakang hendaklah mengangkat tangan sekadar menyentuh bahu anggota di hadapannya. Setiap barisan ini hendaklah berdiri bersetentang dengan anggota - anggota di hadapan. Sesudah barisan lurus, semua diam dan tunggu hukuman pandang depan.

 Hukuman:
            ''Pandang.............depan''
Perbuatan:
Palingkan muka ke hadapan dan turunkan tangan ke sebelah rusuk serentak dengan pantas.

Hukuman:

”Ke Kiri…… Lurus”
Hukuman ini diberi apabila skuad menghadap ke belakang dan penanda berada di sebelah kiri.

Perbuatannya adalah sama dengan ke kanan lurus kecuali semua anggota akan palingkan muka ke kiri dan angkat tangan kiri. Penanda di sebelah kiri hendaklah diam.
Kita boleh memberi nombor sama ada dari kiri atau kanan.

Kesalahan Biasa :
 
1.         Melompat dengan kedua-dua kaki dalam satu masa;
2.         Pergerakan kaki dan bahu tidak sekata ke hadapan dan badan condong ke
            depan semasa meluruskan barisan;
3.         ”Pinggang lemah” semasa kaki bergerak;
4.         Jarak dan bersetentang tidak betul;
5.         Badan dan kepala tidak tegak semasa meluruskan barisan;
6.         Turun tangan lambat dan siku bengkok.
7.        Menepuk peha ketika menjatuhkan tangan.

Hukuman :
            "Luruskan ............ Barisan"

 Perbuatan :

 Pergerakan seperti di atas juga tetapi tidak perlu melangkah ke hadapan, cuma hentakkan kaki kanan dan kiri berturut-turut dan terus bergerak betulkan barisan. Apabila barisan telah lurus , turunkan tangan dan palingkan muka ke depan dalam masa sendiri. Barisan tengah dan barisan belakang hendaklah mengikuti anggota hadapan.

 NOMBOR
Permulaan pelajaran, skuad hendaklah dinomborkan supaya menyenangkan jurulatih memanggil anggota. Dari itu memadai dengan memanggil “Nombor.......... barisan ..................” saja. Anggota juga tahu kedudukannya dalam skuad.

Hukuman :
              " Dari kanan ...........Nombor"
Perbuatan :
Barisan hadapan sahaja yang membilang nombor dengan pantas dari kanan ke kiri. Anggota yang di sebelah kanan sekali bilang "satu" , yang lain mengikut bilang "dua" dan seterusnya sehingga habis.

Kesalahan Biasa :
1.         Tidak mengira nombor dengan cepat.
2.         Suara perlahan.
3.         Lupa nombor masing-masing.

Ingatan :
Apabila anggota telah tersalah bilang, hendaklah diberi hukuman "Semula" , kemudian ulang balik daripada anggota pertama.

 BUKA / TUTUP BARISAN

Hukuman :
            "Buka Barisan .................Gerak".

Perbuatan :

Barisan hadapan ambil dua langkah ke hadapan, iaitu langkah kaki kanan ke hadapan 30 inci dan kaki kiri 15 inci, kemudian angkat kaki kanan dan hentak di sebelah kaki kiri kepada kedudukan sedia. Barisan belakang ambil dua langkah ke belakang mulai kaki kanan diikuti kaki kiri, kemudian angkat kaki kanan dan hentak di sebelah kaki kiri kepada kedudukan sedia. Masa bergerak bilang;  (1-2-1)

 Kesalahan Biasa :

1.         Kedua-dua tangan tidak rapat ke badan;
2.         Tidak mengambil langkah cukup ke hadapan dan ke belakang;
3.         Tangan dan bahu bergerak;
4.         Mata pandang ke bawah;
5.         Badan tidak tegak.

 Hukuman :
 

            "Tutup Barisan.......Gerak".
Perbuatan :
Barisan hadapan ambil dua langkah ke belakang dan barisan belakang ambil dua langkah ke hadapan. Pergerakannya adalah serupa seperti "Buka Barisan......Gerak".

Ingatan :
Apabila skuad berjalan dalam barisan ke hadapan atau ke belakang (melintang) ketika hukuman buka barisan diberi, barisan hadapan hendaklah jalan terus, barisan tengah hentak kaki dua kali , manakala barisan belakang hentak kaki empat kali dan maju. Kalau hukuman tutup barisan diberi, pergerakan adalah sebaliknya.

 BERPUSING KE KANAN/ KIRI/ BELAKANG

Hukumannya :

”Bergerak ke kanan, kanan ........ Pusing".
Dengan menetapkan kedua-dua lutut lurus, hendaklah berpusing sebanyak 90 darjah ke kanan, di atas tumit kaki kanan dan hujung kaki kiri dengan mengangkat hujung kaki kanan dan tumit kaki kiri. Apabila sampai ke hala yang baru tapak kaki kanan terletak atas bumi menyerong ke kanan dan tumit kaki kiri terangkat. Kedua-dua lutut lurus, badan tegak seperti kedudukan sedia . Keberatan badan di atas kaki kanan. Angkat kaki kiri dan hentak di sebelah kaki kanan dengan pantas kepada kedudukan sedia.

Kesalahan Biasa:
1.      Tangan tidak rapat ke badan
2.      Hentak kaki tendang kuda.
3.      Membongkok
4.      Lutut bengkok
5.      Angkat peha melebihi 45 darjah
 

Hukumannya,

”Bergerak ke kiri, Kiri .......Pusing".

Dengan menetapkan kedua-dua lutut lurus, hendaklah berpusing sebanyak 90 darjah ke kiri, di atas tumit kaki kiri dan hujung kaki kanan dengan mengangkat hujung kaki kiri dan tumit kaki kanan. Apabila sampai ke hala yang baru tapak kaki kiri terletak atas bumi menyerong ke kiri dan tumit kaki kanan terangkat. Kedua-dua lutut lurus, badan tegak seperti kedudukan sedia . Keberatan badan di atas kaki kiri. Angkat kaki kanan dan hentak di sebelah kaki kiri dengan pantas kepada kedudukan sedia.

Kesalahan Biasa:
1. Tangan tidak rapat ke badan
2. Hentak kaki tendang kuda.
3. Membongkok
4. Lutut bengkok
5. Angkat peha melebihi 45 darjah
 

Hukumannya :

Menghadap ke belakang , "Belakang ......Pusing".

Menghadap ke hadapan ,  "Belakang ......Pusing".

Dengan menetapkan kedua-dua lutut lurus, hendaklah berpusing 180 darjah mengikut pusingan jam ( ikut bahu kanan ) , di atas tumit kaki kanan dan hujung kaki kiri dengan mengangkat hujung kaki kanan dan tumit kaki kiri. Apabila sampai ke hala yang baru tapak kaki kanan terletak atas bumi menyerong ke kanan dan tumit kaki kiri terangkat. Kedua-dua lutut lurus, badan tegak seperti kedudukan sedia . Keberatan badan di atas kaki kanan. Angkat kaki kiri dan hentak di sebelah kaki kanan dengan pantas kepada kedudukan sedia.

Kesalahan Biasa:
 . Tangan tidak rapat ke badan
2. Hentak kaki tendang kuda.
3. Membongkok
4. Lutut bengkok
5. Angkat peha melebihi 45 darjah.
6. Badan melonjak ketika berpusing

BERPUSING SEPARUH KANAN/KIRI
Hukumannya:

”Bergerak ke kanan, separuh kanan ........ Pusing".

”Bergerak ke kiri, separuh kiri .......Pusing".

Pergerakan sebagaimana berpusing kanan/kiri tetapi separuh kanan/kiri sahaja ( 45 darjah )

 Kesalahan biasa :

1.         Badan melonjak semasa berpusing;
2.         Tangan bergoyang dan membongkok semasa berpusing;
3.         Tumit bergerak dari tempatnya masa berpusing.
4.         Kedua-dua siku tidak lurus masa merapatkan kaki;
5.         Badan dan bahu tidak berpusing dengan betul dalam pergerakan pertama.
6.        Lutut bengkok semasa berpusing.

BERSURAI DAN KELUAR BARIS
Hukuman :

            "Ber..............surai".
Perbuatan :
Skuad itu hendaklah dalam keadaan tutup barisan ,  pusing ke kanan, hentak kaki kiri di sebelah kaki kanan, hormat sekali terus melangkah  mulai kaki kanan ke hadapan tiga langkah  dalam masa cepat ; terus bersurai.

 ingatan :
Jika bertongkat, hendaklah dibawa tongkat itu ke kedudukan kepit sebelum memberi hormat. Anggota yang tidak bertongkat ikut kiraan masa anggota yang bertongkat.

Perhatian:
Jangan disangkakan bersurai itu perkara kecil, bersurai ialah memberi hormat kepada pegawai.  Dengan sebab itu jurulatih hendaklah memerhatikan pergerakan hormat dilakukan dengan sempurna.

 Hukuman :
 

            "Keluar ............... Baris"

Berbeza dengan bersurai, keluar baris bermaksud aktiviti belum tamat, malah bersurai sementara sahaja dan hormat tidak dikehendaki. Anggota tidak boleh beredar dari  padang kawat atau kawasan latihan.