Selasa, 13 Disember 2011

SUMPAHAN BUAYA SAMARAHAN


Sedang enak menghirup kopi panas di ruang tamu rumahnya, Hj. Putit memulakan cerita buaya Samarahan yang boleh tahan misteriusnya jika dibandingkan dengan Bujang Senang. Hj. Putit juga mengatakan yang buaya Samarahan tidak pernah mengganas terhadap penduduk sekitar sungai jika tidak disebabkan oleh satu insiden di suatu masa lampau.

Sebagaimana yang pernah berlaku di sekitar Batang Samarahan, Sarawak (batang=sungai besar dalam bahasa Iban), buaya-buayanya dikatakan bukan buaya biasa. Menurut cerita orang-orang tua, buaya-buaya ini merupakan buaya jadian/jelmaan dan naik ke darat setiap purnama kerana pada ketika itulah biasanya diadakan pesta kampung di sepanjang sungai berkenaan.
Dikatakan ada tujuh ekor buaya jelmaan ini yang bilamana mereka naik ke darat setiap malam purnama, mereka dikenali sebagai pria berparas tampan, berbudi pekerti dan bersopan-santun. Mereka akan naik ke tebing ke kampung yang berdekatan dan menanggalkan kulit buaya yang dipakai, disimpan rapi di sebalik pohon-pohon dan masuk ke kampung. Kehadiran mereka di setiap keraian disambut baik oleh orang-orang kampung tanpa mengetahui identiti mereka yang sebenar. Sesudah tamat keraian kira-kira tengah malam, mereka akan pulang ke tebing sungai, mengambil kulit-kulit mereka dan menyelinap masuk ke dalam sungai tanpa disedari warga kampung.


Setiap kali ada keraian, mereka bertujuh ini selalu membantu orang-orang kampung dan secara tidak langsung menarik perhatian para gadis yang teruja dengan ketampanan mereka. Mereka biasanya akan diajak oleh orang kampung untuk makan dan menari bersama, sehingga mereka tersipu malu. Oleh kerana tidak mahu menolak permintaan orang besar kampung, mereka melayan para gadis yang semestinya menaruh hati terhadap mereka. Oleh kerana hampir setiap purnama ada keraian, kehadiran mereka amat dinanti-nantikan oleh semua yang berkampung di sepanjang tebing sungai itu.
Sebagaimana adat resam manusia, perasaan hasad dengki senantiasa mengiringi perasaan gembira. Adapun para pemuda kampung selalulah berasa hampa kerana mereka tidak mendapat perhatian para gadis yang sudah tertancap pada tujuh pemuda itu. Bukan sekadar itu, mereka juga kurang dihargai pembesar kampung yang lebih banyak memuji tujuh pemuda itu.

“Kitak orang heran sik, sidaknya bukan urang kampung kita. Sidaknya urang luar. Kenak sidaknya agik bagus dari kita? (Aku hairanlah, mereka bukanlah orang kampung kita. Dan juga bukan orang daripada sekitar kawasan ini. Kenapa mereka lebih popular?)
“Minggu sigek ada pesta agik, mesti sidaknya datang. Masa ya kita bante sidaknya puas-puas (Minggu depan ada pesta, mereka pasti datang. Kali ini, kita kerjakan mereka cukup-cukup!)

Keraian yang ditunggu tiba juga. Kehadiran mereka seperti biasa menceriakan pesta. Sesudah tamat, dan bila semua orang sudah pulang, mereka bertujuh pun pulang ke tebing sungai. Tanpa disedari, segala aktiviti mereka diperhatikan sedari awal kedatangan mereka. Dan mereka juga mengetahui identiti sebenar tujuh pemuda itu.
“Boyak paduhal sidak tok. Bukannya urang. Padanlah kacak rupa sidak tok. Sik puas ati aku (Mereka ni buaya rupanya. Bukannya orang. Padanlah kacak mereka ni. Aku tak puas hati)

Mereka merancang strategi.
Bila tiba keraian sepurnama kemudiannya, penampilan tujuh pemuda ini lebih segak daripada sebelumnya. Kali ini juga, mereka lebih berani untuk mengajak para gadis menari bersama mereka. Mereka mahu mengahwini gadis-gadis ini dan berhasrat untuk kekal sebagai manusia biasa.

Pada masa yang sama, beberapa pemuda yang telah menunggu kedatangan mereka di tebing mula menjalankan aktiviti yang sudah dirancang. Masing-masing ketawa dan puas kerana dendam terbalas.
Para pemuda itu sedang asyik menari pada lagu terakhir apabila angin mulai bertiup dan guruh berbunyi. Angin bertiup membawa sekali suatu bau ke arah kampung. Dan pada masa yang sama, mereka berhenti serentak dan berkumpul sesama sendiri, pada kehairanan semua yang ada di situ.

“Lain menar bau tok, kedak bau kulit kenak tunok (Lain betullah bau ni, macam bau kulit terbakar)

“Aku rasa sik nyaman ati ko. Aku rasa kulit kita ya kenak tunok. Jom pulang! (Aku rasa tak sedap hatilah. Aku rasa kulit kita tu yang dibakar. Jom balik!)
Mereka meminta diri secara tergesa-gesa dan keluar daripada pesta itu. Cuaca menjadi semakin buruk dan kilat mula sabung-menyabung. Angin bertambah kencang dan penduduk kampung bertempiaran lari. Tujuh pemuda itu bergegas pulang ke tebing, tanpa disedari mereka diikuti beberapa pemuda kampung.

Di tebing, sebahagian kumpulan pemuda itu bersorak-sorai disekeliling kulit-kulit buaya yang mereka bakar tanpa menghiraukan cuaca yang buruk itu. Setibanya di tebing sungai, tujuh pemuda itu terperanjat besar dan hampir menerpa ke arah kumpulan pemuda itu, tetapi dihentikan oleh ketua pemuda yang mengikuti mereka dari kampung.

“Kamek orang dah tauk sapa kitak orang tok. Kitak orang bukan manusia… kitak orang boyak! (Kami tahu siapa kamu. Kamu bukan manusia, kamu buaya)
“Kulit kamek orang! Kulit kamek orang! Kenak ditunok? (Kulit kami! Kulit kami! Mengapa dibakar?)

“Tok pake balas dendam rah kitak orang. Kamek orang sik suka dengan kitak orang datang ngaco orang kampung semua. Kitak orang bukan manusia! (Ini ialah pembalasan pada kamu. Kami tak sukakan kamu datang ke kampung kami. Kamu bukan manusia!)
Sambil itu cuaca semakin buruk, mereka mulai bergaduh; tetapi akhirnya kulit mereka habis hangus rentung tak dapat diselamatkan lagi.

“Sampe ati kitak orang tunok kulit kamek orang… kamek orang bersumpah akan ngaco keturunan kitak orang sampe mati. Jaga-jaga ajak, tok sumpah kamek! (Sampai hati kamu membakar kulit kami… kami bersumpah akan memburu keturunan kamu sampai mati. Berjaga-jaga, inilah sumpah kami!)
Seraya dengan sumpahan yang diungkapkan, mereka bertujuh terus terjun ke dalam sungai, tidak timbul-timbul selama beberapa minit dan bertukar sepenuhnya menjadi tujuh buaya besar, secara kekal, dan masing-masing menghala ke beberapa kawasan sekitar Batang Samarahan dengan dendam membara.

Sejak dari peristiwa itu, telah banyak orang kampung yang terkorban kerana dendam buaya-buaya itu, termasuklah pemuda-pemuda tersebut. Beberapa kes korban buaya Samarahan pernah dilaporkan dalam media pada pertengahan 1990an. Aneh tapi benar seperti sumpahnya, mangsa-mangsa ini semuanya mempunyai pertalian keturunan dengan ketua pemuda itu tadi.
Begitulah kisahnya sambil Hj. Putit menghabiskan rokok Dunhillnya di malam sepi itu.

* Sebagaimana yang diceritakan kepada aku semasa berambeh (bermalam=Bahasa Melayu Sarawak) di Kampung Mang, Kota Samarahan, Sarawak pada 2004. Kisah ini hangat kembali pada pertengahan 90an di mana dua mangsa yang mempunyai pertalian keluarga mati dibaham buaya di sungai tersebut. Sekarang kisah ini hanyalah sebahagian daripada cerita malam hari di kampung-kampung sekitar Batang Samarahan.