Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Rusuhan Kaum 1964 berlaku di Singapura. Ketika itu, perayaan menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad telah diadakan di seluruh Malaysia. Di kebanyakan bandar, ia disambut secara besar-besaran. Pelbagai unit tentera, polis, bomba dan bekas kakitangan kerajaan, contohnya, turut serta di dalam perayaan itu di Stadium Merdeka Kuala Lumpur. Di Singapura, 212 organisasi Islam menyertai perhimpunan tersebut. Sehingga pukul 1 petang pada 21 Julai 1964, seramai 25 ribu umat Islam berkumpul di Padang. Pada pukul 2 petang, Yang di-Pertuan Negara, ketua kerajaan negeri, memberikan ucapan rasmi. Umat Islam digesa supaya mematuhi ajaran Islam dan 'bersabar, tabah dan rajin berusaha'. Pada jam 3.30 petang, orang ramai sepatutnya berarak dari Padang ke St. Andrews Road, Beach Road, Arab Street, Victoria Street, Kallang Road, dan akhirnya ke Lorong 12, Geylang.
Ketika perarakan itu, di kawasan Kallang, seseorang telah membaling botol ke arah perarakan. Suasana bertukar menjadi tegang. Apabila seorang polis FRU meminta mereka yang berarak supaya menggunakan laluan berdekatan dengan kawasan kerja petrol Kallang sekitar pukul 5 petang, ia telah diserang. Dalam sekelip mata suasana menjadi kacau-bilau. Pada pukul 6.00 petang, perbuatan jenayah membakar bangunan-bangunan berlaku di kawasan Geylang di antara Kallang dan Geylang Serai, dan kereta-kereta diterbalikkan. Pada jam 6.30 petang, pertelingkahan dilaporkan berlaku di Chinatown dan Tanjung Pagar. Pada pukul 6.45 petang, beberapa pertentangan lagi dilaporkan berlaku di Arab Street dan persimpangan North Bridge Road. Seramai 50 orang cedera, dan kebanyakannya dengan kecederaan di kepala, dirawat di Hospital Besar Singapura pada 8.30 malam. Keadaan kacau-bilau berlaku dengan begitu dahsyat sehingga banyak panggung wayang yang mengumumkan pembatalan tayangan filem sesi 9.30 malam. Pada hari pertama rusuhan itu, 4 orang terbunuh dan 178 lagi mengalami kecederaan.
Kekacauan itu turut merebak ke kawasan-kawasan lain di Singapura pada beberapa hari berikutnya. 2 lelaki diserang di kawasan Upper Serangoon jam 9.15 malam pada 22 Julai. Keluarga-keluarga Melayu yang tinggal di Queenstown meninggalkan rumah mereka kerana bimbang dengan keselamatan mereka. Perintah berkurung dari waktu senja sehingga ke waktu subuh dikenakan untuk seluruh pulau itu bagi mengawal kacau-bilau pada 23 Julai, dan hanya ditarik semula sepenuhnya pada 2 Ogos, selepas 11 hari. Seramai 45 orang yang melanggar perintah berkurung tersebut telah dipenjarakan. Dengan keadaan yang tidak stabil itu, harga-harga makanan dan bekalan keperluan naik dengan mendadak di dalam tempoh tersebut. Semua kerja terpaksa diberhentikan untuk selama 3 hari. Yang lebih penting lagi, ketakutan telah merebak. Secara keseluruhannya, 23 orang telah terbunuh dan 460 orang lagi cedera.
Sebab-sebab berlakunya rusuhan kaum
Sentimen perkauman di Singapura dibangkitkan melalui berbagai cara. Pada 12 Julai 1964, UMNO telah mengadakan persidangan yang disertai oleh lebih kurang 150 organisasi Melayu di Singapura. Persidangan itu dipengerusikan oleh Syed Jaafar Albar, Setiausaha Agong UMNO di Semenanjung Malaysia. Beliau telah membuat kesimpulan bahawa orang-orang Melayu di Singapura tidak mendapat layanan yang adil dari kerajaan PAP memandangkan mereka dilihat tidak berkembang maju dari segi material. Beliau telah menggesa orang-orang Melayu supaya bersatu bagi menghadapi layanan yang tidak adil ini. Utusan Melayu, akhbar Melayu di Malaysia, yang dimiliki oleh ahli-ahli UMNO yang terkemuka, juga sering menyuarakan pendirian yang sama di dalam penerbitan mereka, dan ia telah menuduh PAP sebagai menghina dan cuba untuk memecah belahkan masyarakat Melayu di Singapura.
Tidak mudah bagi Tunku Abdul Rahman untuk mengawal pertambahan elemen-elemen perkauman di dalam UMNO kerana beliau akan dilihat sebagai tidak menjaga kepentingan orang-orang Melayu. Sebelum itu setiap hari terdapat tuduhan-tuduhan dari Indonesia yang mengatakan bahawa beliau telah menjual bangsa Melayu kepada saudagar-saudagar Cina dan India di Malaysia. Selepas rusuhan kaum, Tunku memberi pendapat bahawa ianya disebabkan oleh pengabaian yang terlalu lama orang-orang Melayu Singapura, dengan merujuk perkara berikut sebagai contoh : '(orang-orang melayu) telah dipaksa keluar dari rumah-rumah milik mereka untuk memberi jalan kepada pembangunan rumah-rumah pangsa baru dan lain-lain.'
MCA, parti komponen pemerintah di Malaysia turut menyumbang ke arah kebangkitan suasana perkauman. Menterinya di dalam kerajaan, Khaw KAI Boh, yang merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan perumahan, sebagai contohnya, mendakwa bahawa kemajuan Singapura adalah dikhaskan untuk orang-orang Cina, dan beliau bercakap tentang Cauvinis Cina di Singapura. Pendirian PAP adalah orang-orang Melayu perlu meningkatkan tahap pendidikan mereka bagi membaiki kedudukan ekonomi mereka. Tiada layanan istimewa, selain dari yang diperuntukkan di dalam perlembagaan Singapura, yang dibayangkan.
Terdapat alasan-alasan yang lebih berasas tentang mengapa ahli-ahli terkemuka UMNO dan MCA kelihatan begitu bersungguh-sungguh untuk membangkitkan ketegangan sosial dan kaum di Singapura, dan oleh itu melemahkan peraturan PAP dan mengurangkan ancamam politiknya. Elemen-elemen tertentu UMNO adalah bantahan terhadap pergabungan Singapura Dengan Malaya menadangkan Singapura mempunyai bilangan penduduk berbangsa Cina yang lebih besar. Nasionalis-nasionalis Melayu di dalam UMNO juga tidak senang dengan profail tinggi yang diambil oleh Lee Kuan Yew, seorang ahli politik Cina, semasa perundingan untuk pergabungan dan di dalam tempoh sebaik sahaja selepas pergabungan. Sebagai contoh, pemimpin Singapura itu mengumumkan tentang kesukaran yang dihadapinya semasa perundingan untuk pergabungan; dan di dalam satu program analisa berita TV BBC, 'Panorama', mengenai perjalanan peristiwa-peristiwa yang membawa kepada pembentukan Malaysia, hanya Lee Kuan Yew yang dijemput dan pandangan-pandangannya disiarkan. Pada bulan Jun 1964, Lee Kuan Yew mengetuai sekumpulan 12 orang ahli di dalam satu misi kunjungan ke 17 negara-negara Afrika dan India untuk menangkis propaganda Indonesia yang ditujukan kepada Malaysia, satu tindakan yang telah mendapat bantahan dari nasionalis Melayu seperti Syed Jaafar Albar. Kebimbangan UMNO semakin bertambah apabila parti bersekutunya di Singapura gagal memenangi sebarang kerusi di dalam pilihanraya yang diadakan pada 21 September 1963 di Singapura, walaupun di dalam kawasan yang mempunyai majoriti Melayu. Kesan dari kejayaan PAP sangat ketara buat UMNO. Dengan marahnya, Tunku mengecap orang-orang Melayu di Singapura sebagai 'pengkhianat'. Calon PAP yang diberikan undi oleh orang-orang Melayu di Singapura juga berbangsa Melayu? maka ia tidaklah boleh dikatakan 'pengkhianat' bangsa seperti yang digambarkan oleh Tunku.
Ahli-ahli terkemuka UMNO juga tidak senang dengan sikap Singapura yang tidak patuh kepada kerajaan persekutuan. Sekali pun Tunku mengeluarkan kenyataan umum menyatakan sokongan kepada kepada MCA, PAP tetap bertanding melawan MCA di dalam pilihanraya persekutuan pada bulan April 1964. Lebih dari itu, PAP menunjukkan bahawa percubaan untuk muncul sebagai satu kuasa politik yang lebih besar di Malaysia, boleh membawa 'angin perubahan' di Malaysia, di mana UMNO akan terpaksa menerima ideologi politik dan cara pendekatan PAP yang tersendiri dan lebih berprinsip saksama. Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Menyuarakan kesangsiannya dengan keikhlasan PAP terhadap kepentingan dan kebajikan orang-orang Melayu. Penyertaan PAP di dalam pilihanraya persekutuan telah dilihat sebagai satu percubaan untuk melemahkan kedudukan dan hak-hak istimewa orang-orang Melayu di Malaysia, walaupun PAP tidak bertanding melawan UMNO secara langsung.
Cauvinis-cauvinis Melayu di dalam UMNO menggambarkan PAP sebagai parti anti-Melayu dan bersandarkan pada konteks inilah maka kempen kebencian terhadap kerajaan anti-Melayu PAP yang dijalankan oleh Syed Jaafar Albar itu dapat difahami. Perasaan orang-orang Melayu Singapura terhadap orang-orang Cina telah terbakar. Lee Kuan Yew begitu pasti bahawa pelampau-pelampau UMNOlah yang patut dipersalahkan di dalam kejadian rusuhan kaum itu.
Kesangsian MCA terhadap Singapura yang diterajui oleh PAP itu adalah bertujuan poltik. Mereka sebenarnya bimbang kehilangan sokongan dari penyokong-penyokong Cina di Malaysia kepada Lee Kuan Yew. Pemimpin-pemimpin utama MCA cuba menyimpangkan perundingan sebelum pergabungan terjadi. MCA juga cuba untuk mengurangkan pengaruh politik PAP dengan menguatkan kembali cawangannya di Singapura, dan terlibat secara langsung di dalam politik Singapura. PAP pula, enggan untuk menerima bahawa MCA memperjuangkan kepentingan semua orang Cina di Malaysia. MCA dilihat sebagai sebuah 'kelab orang-orang kaya' yang kegagalannya untuk memperjuangkan kepentingan orang-orang Cina yang kurang berkemampuan, terutamanya yang tinggal di kawasan-kawasan bandar, boleh membawa kepada bertambahnya pengaruh parti-parti politik pro-komunis. Dari itu MCA amat bimbang dengan PAP yang mungkin memohon untuk menggantikan tempatnya di dalam Perikatan yang memerintah Malaysia sekiranya kekuatan politik PAP semakin meningkat, biarpun kenyataan-kenyataan umum Tunku Abdul Rahman bahawa beliau akan tetap mempertahankan MCA, rakan kongsi setianya.
Hubungan di antara MCA dan PAP dihina oleh kenyataan-kenyataan balas yang dikeluarkan secara berterusan, berkenaan hal-hal politik dan peribadi. Kenyataan-kenyataan tersebut bertambah hangat semasa kempen pilihanraya pada bulan April 1964 di Semenanjung Malaysia, apabila PAP tidak berjaya di kawasan-kawasan Bandar, semata-mata untuk menunjukkan bahawa PAP hanya berguna kepada UMNO dari segi pilihanraya dari MCA. Ketegangan semakin meningkat apabila Tan Siew Sin, Menteri Kewangan Pusat, enggan melaksanakan pasaran saham yang sama di Malaysia sebagaimana yang telah dipersetujui semasa perundingan sebelum pergabungan, kecuali Singapura membayar 60%, bukannya 40%, dari pendapatan negaranya kepada Kuala Lumpur. Adalah dipercayai bahawa MCA tidak mahu menambahkan kelebihan ekonomi Singapura dengan mengorbankan ahli-ahli MCA yang terlibat dengan perniagaan.
Agen-agen Indonesia mungkin juga terlibat di dalam menimbulkan kacau-bilau itu. Itu adalah tempoh masa konfrontasi. Indonesia di bawah arahan Presiden Sukarno, menghalang pembentukan Malaysia kerana ia berminat untuk menakluki Sarawak dan Sabah di dalam Malaysia Timur. Kerajaan Indonesia juga menghadapi pelbagai masalah seperti ancaman ekonomi, rasuah, pentadbiran yang salah dan aktiviti-aktiviti yang merosakkan oleh komunis. Percubaan untuk menimbulkan kekacauan dan ketidakstabilan di Malaysia akan dapat mengalih perhatian rakyat Indonesia dari masalah-masalah tersebut. Dari bulan September 1964 sehingga bulan Mei 1965, terdapat sebanyak 42 kejadian letupan bom oleh pengkhianat-pengkhianat yang menerima arahan dari Indonesia. Selepas rusuhan kaum pada 21 Julai 1964, Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia, mengutuk Indonesia sebagai dalang di sebalik kejadian rusuhan itu. Walau bagaimanapun, pengkhianat-pengkhianat Indonesia itu tidak akan berjaya, sekiranya ketegangan kaum belum lagi tercetus sebelum itu.
Masalah-masalah perkauman yang lain di dalam sejarah Singapura
Kejadian rusuhan kaum pada 21 Julai bukanlah satu-satunya insiden yang pernah berlaku. Terdapat tiga kejadian penting yang telah berlaku. Kejadian pertama berlaku di antara 21 Ogos 1945 dan 11 September 1945, di dalam tempoh sementara di antara waktu Jepun Menyerah Kalah dan kembalinya kuasa British. Kejadian kedua adalah rusuhan Maria-Hertogh dari 11 hingga 13 Disember 1950, di mana sensitiviti orang-orang Melayu Islam telah dibangkitkan berikutan keputusan mahkamah penjajah (kolonial) yang membenarkan seorang budak perempuan berbangsa Belanda yang dibesarkan sebagai seorang Islam dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya yang beragama Kristian. Rusuhan yang tercetus itu disemarakkan lagi oleh gambar-gambar dan artikel-artikel yang tersiar di akhbar-akhbar sehingga menyebabkan 18 orang terbunuh dan 173 lagi cedera. Insiden ketiga berlaku pada 3 September 1964. Rusuhan itu telah dibangkitkan oleh agen-agen Indonesia yang mahu menjejaskan kestabilan di Singapura. Walaupun pertelingkahan itu berlaku sekali-sekala, apabila perintah berkurung ditarik balik pada 9 September 1964, seramai 13 orang telah terbunuh semasa merusuh dan 102 lagi cedera. Seramai 240 'pendesak politik' yang dianggap bertanggungjawab terhadap gangguan itu telah ditangkap.
Ketika Rusuhan Kaum 1964
- Laluan tambak Johor telah ditutup dari 22 sehingga 26 Julai 1964 apabila perintah berkurung dikenakan ke atas Singapura? Akibatnya, ramai rakyat Singapura yang bekerja di Johor Bahru tidak dapat pulang ke rumah masing-masing. Semua hotel dan motel di Johor Bahru penuh diduduki oleh rakyat Singapura pada masa itu.
- Berlaku kesesakan jalanraya yang paling besar pada pagi 22 Julai 1964 iaitu jam 10.00 pagi, kerajaan telah mengumumkan bahawa perintah berkurung akan dikenakan semula pada pukul 11.30 pagi, selepas ditarik balik sebelum itu pada pukul 6.00 pagi. Perintah berkurung telah dikenakan semula apabila terdapat lebih kekacauan pada pagi 22 Julai. Ramai yang terpaksa pulang ke rumah dari tempat kerja dengan tergesa-gesa dan jalan-jalanraya masih sesak sehingga pukul 12.00 tengah hari.
- Terdapat banyak khabar-khabar angin yang disebarkan semasa keadaan kacau-bilau itu? Khabar angin yang paling meluas adalah mengenai saluran paip air yang membawa air dari Johor telah pecah. Banyak keluarga yang membawa keluar semua alat-alat penakung air mereka untuk dipenuhkan dengan air. Suasana cemas itu hanya berkurangan apabila PUB mengeluarkan satu kenyataan menafikan bahawa terdapat kerosakan pada paip air dari Johor itu. Sesiapa yang didapati bersalah menyebarkan khabar-khabar angin itu akan dipenjarakan selama 3 tahun.
- Rakyat diminta agar mengurangkan pengunaan telefon mereka? Disebabkan perintah berkurung, telekom menghadapi kekurangan kakitangan dan hanya terdapat sedikit pekerja sahaja untuk membantu menyambungkan talian.
- Apabila perintah berkurung dikenakan, mereka yang masih tidak mendapat sebarang pengankutan untuk pulang ke rumah, akan segera ke balai-balai polis yang berdekatan? Di balai-balai polis ini, mereka yang terkandas akan meminta bantuan polis untuk menghantar mereka pulang. Kadangkala, pihak polis melayani permintaan mereka itu.
- Harga barang-barang makanan dipasaran meningkat kepada dua hingga tiga kali ganda. Pembekal-pembekal di pasar tidak akan tawar-menawar dengan pelanggan-pelanggan. Ini kerana bagi setiap satu pelanggan yang keberatan, terdapat sekurang-kurangnya 10 pelanggan yang bersedia untuk membeli barang-barang segar itu. Satu Jawatankuasa telah dibentuk di banyak kawasan di Singapura yang menggesa agar para pembekal dan peniaga-peniaga kedai tidak mengambil keuntungan yang berlebihan. Jawatankuasa seperti itu dibentuk untuk menenangkan ketegangan kaum dan peniaga-peniaga kedai Cina juga dinasihatkan agar tidak menolak pelanggan-pelanggan Melayu.
- Banyak majlis-majlis perkahwinan terpaksa ditangguhkan apabila perintah berkurung dikenakan. Ramai yang mendapat tahu tentang penangguhan-penangguhan tersebut yang dibuat melalui akhbar-akhbar tempatan.
- Kereta-kereta mayat bergerak lebih cepat dari biasa? Ramai keluiarga yang berkabung terpaksa meyelesaikan hal-hal pengkebumian orang yang mereka sayangi sebelum perintah berkurung dikenakan semula. Sesiapa yang didapati melanggar peraturan ini akan didakwa dan dipenjarakan.
- Penjualan akhbar-akhbar meningkat beberapa kali ganda? Terkandas di rumah, ramai yang membeli surat-surat khabar untuk mengetahui tentang perkembangan di Singapura. Mereka juga perlu tahu tentang waktu-waktu perintah berkurung.
- Pemandu-pemandu teksi mengenakan tambang yang tinggi kepada pengguna-pengguna yang bergegas untuk pulang ke rumah sebelum tempoh perintah berkurung bermula.
- Panggung-panggung wayang ditutup selama 1 minggu? Apabila dibuka semula pada 27 Julai, ia hanya mempunyai satu atau dua waktu tayangan dan tayangan tersebut perlu memberi masa yang secukupnya bagi penduduk-penduduk untuk sampai ke rumah mereka sebelum tempoh perintah berkurung bermula.
- Agak menghairankan, pada salah satu jalan yang terpanjang di Singapura, Jalan Bukit Timah, tiada kejadian ganas yang berlaku.
- Kebanyakan kampung-kampung, penduduk Cina dan melayu melindungi satu sama lain dari unsur-unsur kekacauan yang datang dari luar kampung mereka.
- Kejadian pecah kereta, menyamun penunggang-penunggang motorsikal dan pejalan-pejalan kaki yang berseorangan dan perbuatan ganas menggunakan kayu, parang dan kerusi, adalah jenis-jenis kekacauan yang sering berlaku.
Sumber: Wikipedia Malaysia