Selasa, 13 Disember 2011

Tusut atau Salasilah Raja Berani

Salasilah Rentap apai Tambong yang diketahui tidaklah begitu mendalam, tidak seperti salasilah tuai serang (war leader) dari Saribas, seperti Linggir Mali Lebu atau pun Aji apai Limpa, nenek moyang mereka dapat diketahui sehingga lebih daripada 25 peturun (generasi) daripada asalnya sehingga kepada generasi yang ada kini.

Daripada buku Legends and History of Sarawak, Salasilah Rentap adalah begini, Ningkan beristerikan Imbong beranakkan Rentap, Jarop, Ringgit, Lepo dan Serini. Rentap, Jarop dan Ringgit diam di Skrang, Lepo pindah ke Sungai Ngemah, cawangan Batang Rajang, manakala adik perempuan mereka Serini berpindah ke Muput, Anab, Balingian. Namun ada juga (dalam sebuah laman weblog) yang mengatakan ibu Rentap bernama Beremas (kalau saya salah, betulkanlah).

Rentap beristerikan Sawai, dan beranakkan Tambong dan mengambil anak saudaranya Ensimai sebagai anak angkat. Ensimai adalah anak Ringgit. Ringgit merupakan adik Rentap dan juga orang yang paling dipercayai oleh Rentap. Semasa hayatnya Ringgit dikatakan telah memenggal banyak kepala. Tambong bersuamikan Layang, mereka tidak mempunyai anak. Oleh itu, mereka mengambil Subang sebagai anak angkat. Subang kemudiannya berkahwin dengan Penghulu Dalam Munan anak Penghulu Minggat apai Runai dari Awik, di Krian.

Menantu Rentap, iaitu Layang suami kepada Tambong juga pahlawan gagah berani, dialah yang membunuh Tuan Allan Lee di Lintang Batang dekat Nanga Skrang. Penghulu Dalam Munan yang beristerikan Subang, cucu Rentap, juga pahlawan yang terkenal dan berani. Munan merupakan orang kepercayaan Raja Charles Brooke menentang Kayan-Kenyah di Ulu Belaga dan juga Ngumbang dan Bantin pemimpin Iban Ulu Batang Ai yang bangkit menentang kerajaan Brooke.

Ayah Munan, Penghulu Minggat apai Runai merupakan raja berani Iban paling berpengaruh selepas Linggir Mali Lebu dari Paku. Minggat bersama-sama dengan Chulo Tarang bertanggungjawab membantu Brooke menghapuskan pemberontak Kayan-Kenyah dan Kejaman di Ulu Belaga, pemberontakan Ngumbang di Ulu Ai, Mujah Buah Raya di Ulu Julau dan Balang dan adiknya Enjop Ulu Katibas.

Kemunculan Rentap adalah suatu yang membingungkan dan telah diberi pelbagai intrepretasi oleh orang Iban. Hal ini demikian adalah kerana datuk dan nenek moyang Rentap tidak dapat dikesan melalui tusut iaitu ilmu salasilah Iban yang dapat merujuk sehingga 25 keturunan generasi lampau. Oleh sebab salasilah Rentap tidak dapat diingati, maka kebanyakan pengkaji mengandaikan keluarga Rentap kononnya berasal dari Ulu Kapuas di Kalimantan Barat, Indonesia yang pada ketika itu di bawah kuasa pemerintahan Belanda. Sebaik sahaja Rentap lahir lebih kurang dalam tahun 1800 mereka sekeluarga bersama beberapa keluarga Iban yang lain berpindah dari Ulu Kapuas dan diam di Ulu Skrang. Namun demikian, ada juga cerita yang mengatakan Rentap lahir dan membesar di Skrang.

Nama Rentap yang sebenarnya ialah Libau, setelah membunuh musuh semasa mengayau di bawah pimpinan Orang Kaya Rabong dan juga Orang Kaya Pemancha Dana Bayang nama Libau diberikan ensumbar atau pun julok ; Libau Panggau Dara, Rentap Tanah Kudi Menoa. Selepas itu nama Libau lebih dikenali sebagai Rentap. Rentap juga tau serang, tau kayau, tau mulau (berkebolehan memimpin perang) seperti raja berani Saribas dan Skrang yang lain.

Pada suatu ketika Rentap telah mengetuai Iban Skrang mengikuti O. K. P. Dana Bayang meyerang pekampungan Melayu dan orang Cina di pekan Pontianak. Rentap yang merupakan tuai serang (leading warrior) Dana Bayang dengan beraninya melompat ke dalam perahu orang Melayu Pontianak yang sedang mengejarnya ke tengah laut lalu menetak kesemua musuh yang berada di dalam perahu berkenaan. Pada ketika inilah Rentap telah memperolehi sebilah keris yang berhulukan emas.

Setelah beberapa kali mengikuti O.K.O. Dana Bayang akhimya Rentap pula bertindak sebagai ketua perang (war leader) dan pernah suatu ketika dia membawa para pengikutnya dari Saribas dan Skrang menyerang kapal Sultan Pontianak dan kapal perang Belanda. Mereka merampas dua pucuk meriam tembaga dan beberapa barangan yang lain sebagai perpasan (tanda kejayaan). Setelah membunuh kesemua anak kapal, Rentap dan orang-orangnya kembali ke Skrang tanpa seorang pun pahlawannya terbunuh atau tercedera.

Pertemuan Pertama dengan Raja Ribai (Orang Putih).
Setelah digelar menjadi Raja Sarawak, James Brooke pun pergi menyerang Iban Saribas. Dalam masa beberapa hari sahaja Iban Saribas pun berjaya dikalahkan. Orang Kaya Pemancha Dana Bayang bersama anak-anaknya kalah di Padeh, Linggir Mali Lebu dan Iban Paku kalah di Kerangan Pinggai dan anak-anak mendiang O.K. Antau Linggang Nengeri dan O.K. Gun Mangku Bumi telah kalah di Nanga Tawai di tebing sungai Rimbas.

Setelah semua kubu Iban di Saribas kalah, maka datanglah James Brooke membawa angkatannya menyerang Iban Skrang yang diketuai oleh Libau Rentap. Apabila mendengar khabar Raja Putih hendak datang menyerang Rentap pun mempersiapkan angkatannya untuk menunggu orang putih. Kita akan tunggu mereka di Kerangan Peris kata Rentap kepada orang-orangnya. Kerangan Peris adalah satu tempat yang tidak berapa jauh dari Nanga Skrang tuai serang (war leader) Iban Skrang yang turut bertahan di situ ialah O.K. Gasing, Sabok Gila Berani (madly brave), Sandom, Linggi apai Belabut, Bulan Genaya dan beberapa lagi yang lain.

Rentap yang merupakan perancang utama serangan itu telah mengarahkan para pengikutnya bersembunyi di sekitar tebing sungai dan bersedia untuk menyerang hendap pasukan orang putih dengan ketulan-ketulan batu yang sederhana besar, buluh-buluh runcing dan untuk menaikkan semangat anak-anah buahnya. “Bunuh, bunuh, serang, serang, bunuh bansa ribai” ! kata Rentap.

Pasukan James Brooke tersepit dan dikepung oleh pasukan Rentap dari kedua-dua tebing sungai sebelah-menyebelah. Dalam pertempuran itu pasukan pihak Rentap telah menang, Rentap sendiri dengan beraninya mengasak musuh yang sedang kelam-kabut di kerangan (kawasan berbatu di tebing sungai atau gravel bed) lalu memenggal kepada seorang bansa ribai yang bernama Tuan Steward.

Kepala Steward sempat dibawa oleh Rentap. Ketua Melayu Sarawak, Dato Patinggi Ali bersama dengan para pengikutnya yang seramai 26 orang juga menemui ajal dalam pertempuran itu. Selepas kemenangannya itu Rentap pun membawa orang-orangnya kembali ke Ulu Skrang bersama-sama kepala Tuan Steward, ribai yang malang itu.

Itulah pertempuran pertama Rentap dengan orang putih. Pertempuran itu jugalah yang menyebabkan Rentap mendendami dan membenci orang putih sepanjang hayatnya. Selepas serangan di Kerangan Peris itu ketua Iban di Skrang hilir O.K. Gasing, Renggie, Sandom dan Linggi menyerah diri kepada James Brook dan selepas mereka mengkhianati Rentap lalu menyokong James Brooke sehingga Rentap meninggalkan Bukit Sadok 1861. Selain itu, Menurut DS Edmund Langgu bagi Iban Saribas, Krian, Julau, Kanowit, Batang Ai dan Batang Rajang trio O.K. Gasing, Renggie, Sandom dianggap sebagai pembelot besar bangsa Iban.

Setelah kebanyakan pemimpin Iban hilir Skrang belot, tinggallah Rentap dan Bulan Genaya yang disokong oleh orang-orang Iban Ulu Skrang masih lagi bertekad untuk menentang Raja James Brooke. Namun setelah Rentap kalah di Sungai Lang, Bulan Genaya dan ramai pengikutnya juga turut meninggalkan Rentap dan berpaling tadah menyokong James Brooke.

Rentap Bahagian Ketiga: Pertempuran di Beting Maru

Walaupun kebanyakan cerita lebih menonjolkan Lingir Mali Lebu dari Paku sebagai pemimpin utama dalam Pertempuran di Beting Maru ini, namun kebanyakan penulis yang lain turut meletakkan Rentap sebagai antara pemimpin Iban Skrang yang penting bersama-sama dengan Aji apai Limpa dan Abang Apong ketua Melayu Saribas. Dalam tahun 1849 Iban Saribas-Skrang dengan beratus-ratus buah perahu telah menyerang Igan, Matu dan Paloh di Nanga Rajang. Dalam perjalanan kembali dari Igan, Matu dan Paloh, mereka dengan tergesa-gesa hendak menyerang Sarikei, tetapi gagal kerana orang-orang di Sarikei telah pun bersedia.

Setelah gagal menyerang orang Iban Saribas-Skrang lalu berpatah balik dan hendak terus menyerang Duri, di Batang Sadong yang dahulunya pernah diserang oleh orang Iban dan Melayu Saribas-Skrang di bawah pimpinan OKP Dana Bayang dan juga Datuk Patinggi Udin dari Rantau Anak (Entanak) di Betong.

Namun demikian, pada waktu dinihari ketika mereka melintas Nanga Kalaka (Kuala Sungai Krian), berdekatan dengan Beting Maru tiba-tiba perahu-perahu mereka telah ditembak oleh sekunyir (kapal wap atau steamer) angkatan Sarawak yang sememangnya sedang menunggu mereka di situ. Pada masa itu James Brooke sendiri sudah bersedia dengan perahu Singa Raja, bersama dengan Charles Brooke yang menuggu dengan perahu Raja Wali dengan kekuatan kira-kira 40 buah perahu orang dari Banting pimpinan OK Janting. Selain itu, turut menunggu Nanga Kalaka itu juga orang Lundu, Sadong sereta Melayu Kuching. Sementara itu Kapten Farquhar sendiri bersiap sedia mengunggu dengan kapal Nemesis. Tidak cukup dengan itu, kapal Albatros dan Ranee, beserta buah perahu tentera laut British bersama-sama dengan 40 buah perahu orang-orang Lundu di bawah pimpinan OK temenggong Jugah menunggu di Nanga Saribas, untuk menghalang pahlawan-pahlawan Iban menuju ke Batang Saribas.

Orang-orang Iban termasuk Rentap tanpa rasa takut melanggar sebuah kapal perang yang nenyekat laluan ke Nanga Saribas. Pada mulanya kapal perang Raja Sarawak itu hanya menunggu sahaja, tetapi apabila melihat Rentap dan orang-orang semakin hampr, angkatan James Brooke pun mengasak mereka dengan kemudi enjin kapal perang. Enjin yang dipangggil orang tua-tua dahulu sebagai injin tau belanda (injin yang boleh berlari). Maka banyaklah perahu orang-orang Iban Saribas dan Skrang yang terbalik dan beratus-ratus (lebih kurang 300 orang tekorban daripada 3700 orang pengayau menurut pihak Brooke) yang terbunuh, sama ada mati lemas dan kebuluran dalam perjalanan kembali ke kampung halaman masing-masing. Antara perahu yang berjaya masuk Batang Lupar ialah orang-orang Apai Dendang yang mungkin termasuk Rentap.

Ramai juga para pengikut Rentap yang mati akibat terkena asakan kemudi kapal serta terkena peluru senapang dan meriam dari kapal perang James Brooke. Dalam pertempuran ini hanya Numan dari Paku bujang berani dari Kalaka-Saribas yang gugur, manakala Linggir, Abang Apong dan Aji terselamat kerana sempat melarikan diri dengan berkayuh memasuki Batang Saribas. Namun demikian, Rentap dan pahlawan Skrang amat menderita dalam pertempuran di Beting Maru itu yang berlaku kira-kira lima jam. Kebanyakan pahlawan Skrang banyak gugur di tangan pihak Brooke dan juga mati kerana terpaksa berjalan jauh balik ke tempat mereka du Ulu Skrang.

Tiga hari selepas berlakunya pertempuran di Beting Maru itu itu angkatan Raja pun bertempur sekali lagi dengan Linggir Mali Lebu di Nanga Peka, Paku, Saribas. Aji dan orang-orangnya kembali ke Padeh, manakala Rentap dan orang-orangnya mendirikan kubu mereka di Tabat di banjaran Sadok di persempadanan Ulu Saribas dan Ulu Skrang. Dari situ mereka mengawal Sungai Lang dan sering melancarkan kayau (serangan) terhadap orang Melayu dan Iban di hilir Batang Lupar dan Batang Saribas yang kininya telah menjadi musuh Rentap kerana mereka telah tunduk kepadakerajaan Brooke.

Kematian Allan Lee di Nanga Skrang

Selepas Perang Beting Maru, James Brooke lalu mendirjkan kubunya di beberapa muara sungai yang strategik di seluruh Bahagian Kedua. Kubu pertama telah didirikan di Nanga Skrang kemudian di Nanga Lingga. Kubu-kubu ini bertujuan untuk menghalang Rentap dan para pengikutnya dari Ulu Skrang daripada membantu Iban Saribas menyerang tempat yang lain, di terutamanya Lingga dan Sebuyau di sepanjang Batang Lupar. Kubu di Lingga dijaga Tuan Allan Lee dengan dibantu oleh orang- orang Banting, manakala Kubu James di Skrang dijaga oleh Tuan Brereton dengan dibantu oleh orang Iban Skrang hilir yang diketuai oleh OK Gasing dan Linggi yang dahulunya sekutu Rentap.

Apabila melihat muara sungai yang merupakan satu-satunya laulannya ke laut telah dihalang oleh kerajaan maka sebagai anak jati negeri ini Rentap pun berasa sanggat marah kerana tiada lagi jalannya ke Batang Lupar dan pesisir pantai Sarawak. Bagi Rentap memang tidak patut bangsa asing yang lebih bijak dan lebih maju melakukan pekara sesuka terhadap anak tempatan. Sebagai pejuang kebebasan Rentap tidak tunduk dan berdiam diri, beliau bersama pengikut-pengikut telah datang ke Nanga Skrang untuk menyerang kubu yang baru sahaja siap itu.

Namun demikian, berita mereka hendak menyerang kubu itu tersebar dengan cepatnya ke pengetahuan Tuan William Brereton di Nanga Skrang. maka beliau pun meminta bantuan Tuan Allan Lee yang menjaga kubu di Nanga Lingga, maka datanglah Tuan Lee membawa bersama pahlawan-pahlawan Iban Balau ke Nanga Skrang.

Di Nanga Skrang Tuan William Brereton yang mengetuai Iban hilir Skrang telah membawa Tuan Lee mendirikan kubu mereka di Lintang Batang ke hulu sedikit dari Kubu James di Nanga Skrang untuk menunggu kedatangan Rentap dan orang-orangnya dari Ulu

Skrang. Perahu Rentap dan orang-orangnya pun datang, lalu dibedil oleh orang-orang Allan Lee dan .William Brereton. Rentap dan pahlawan-pahlawannya pun terkejut dan menghentikan kemaraan mereka serta berundur semula ke hulu lagi.

Tuan Brereton yang tidak berpuas hati bertembak-tembakan dari jarak jauh telah membawa Allan Lee dan pahlawan-pahlawannya mereka mengejar Rentap dan orang-orangnya ke hulu. Di hulu sana, Rentap dan pahlawan-pahlawannya telahpun bersedia untuk melakukan serang hendap. Belum berapa lama Brereton dan Allan Lee Rentap dan para pahlawanya pun muncul hendak melanggar musuh, ketika perahu pasukan Allan Lee dan Brereton berpapasan (berselisih) dengan perahu Rentap, Layang menantu Rentap pun menumbuk Allan Lee dengan suar nya,27 Allan Lee pun rebah, pada ketika itulah Layang melompat lalu memenggal kepala Allan Lee. Tetapi tidak jua orang tua-tua dulu menceritakan sama ada dapat atau tidak kepala Allan Lee diambil oleh Rentap dan orang-orangnya.

Apabila melihat Tuan Allan Lee telah terbunuh, Tuan Brereton lalu membawa orang-orangnya berundur ke Nanga Skrang, Rentap dan para pengikutnya pun melarikan diri ke kubu mereka di Ulu Sungai Lang.

Apabila melihat Rentap dan orang-orangnya melarikan diri, maka, O.K. Gasing yang begitu marah terhadap Rentap, tanpa berunding terlebih dahulu dengan Tuan Brereton lalu membawa orang-orangnya mengejar Rentap dan para pengikutnya ke hulu sungai Skrang, tetapi mereka gagal menemui Rentap dan para pengikutnya. Akhimya O.K. Gasing dan para pahlawannya lalu membakar lebih daripada 20 buah rumah panjang orang Iban Ulu Skrang yang selama yang selama ini selalu menyokong Rentap. Sebelum ini OK Gasing juga merupakan sekutu kuat Rentap. Tindakan OK Gasing ítu sangat-sangat mengembirakan James Brooke.

Setelah pertempuran di Lintang Batang dekat Nanga Skrang Rentap itu pun menambahkan gelarannya yang sedia ada kepada ensumbar nya yang baru yang berbunyi;

Rentap Tanah, Rentap Menoa,
Tuan Lee mati enda berega,
Tuan Brereton tau masukka kain,
Enda teanjungka bala,
Rita Layang terang mandang Ai Rupa,
Abang Aing badu mendingka Raja,
Undup abis melut leka mata,
Balau bekerangau sebelah kerapa (Datar Tanah, Datar Wilayah,
Tuan Allan Lee mati tiada berharga,
Tuan Brereton bolehlah memakai kain [kain sarung perempuan]
Tidak dapat mengetuai balanya (pahlawannya),
Kisah Layang terang-benderang, menerangi Eropah
Abang Aing tidak lagi mendengar kata-kata Raja, Undup habis tebeliak biji mata
, Balau berkeliaran di sekitar paya)
Abang Aing merupakan Senior Native Offlcer yang bertugas di Kubu James di Nanga Skrang. Menurut Robert Pringle (1970: 150) Abang Aing was a legendary fìgure among the Iban of Second Division, whose stories related that he could change himself into a pig to frighthen the Iban, in spite of the fact that pigs are, of course, a loath some to good Moslems.