Khamis, 8 Disember 2011

Ekspedisi Pindah Gajah Liar

Anggota KRS boleh menjadikan bahan ini untuk aspek alam sekitar



GAJAH liar bersama Cek Mek dan Timur sampai ke Kuala Gandah selepas melalui perjalanan sejauh 400 kilometer.


PEMBUKAAN tanah untuk tujuan penempatan dan perladangan sering kali tidak mengambil kira keperluan hidupan liar seperti gajah yang sentiasa berpindah-randah. Ini menyebabkan berlaku konflik antara manusia dan haiwan tersebut. Kes-kes seperti tanaman dimusnahkan gajah-gajah liar kerap kedengaran di media massa.
Awal tahun ini, penduduk di tiga buah kampung berdekatan Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor berada dalam keadaan ketakutan apabila sering diganggu haiwan liar itu. Para penduduk yang terlibat dari Kampung Padang Ragut, Kampung Singapura dan Kampung Tuan Sheh mendakwa gajah-gajah liar sering memusnahkan tanaman mereka terutama pada waktu malam.
Bukan sahaja tanaman seperti pisang dan kelapa sawit menjadi sasaran tetapi mereka turut risau jika rumah penduduk pula diserang. Selain itu, kes-kes yang melibatkan kemalangan jalan raya dengan haiwan liar tersebut turut dilaporkan.


PENEBANGAN hutan yang mengganggu habitat gajah liar menyebabkan berlaku krisis antara gajah dan manusia.


Pada 6 Oktober 2010 lalu, seorang pemandu treler, Muhammad Ibrahim, 53, cedera dalam satu kemalangan dengan seekor gajah yang tiba-tiba sahaja melintas. Gajah itu kemudian melarikan diri dari tempat kejadian tetapi ditemui mati seminggu kemudian dalam sebuah ladang kelapa sawit dekat Mawai, Johor.
Pindah
Bagi menangani konflik manusia-gajah itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) melalui Pasukan Pemindahan Semula Gajah kerap mengadakan ekspedisi pemindahan gajah liar ke Pusat Konservasi Gajah, Kuala Gandah.
Pasukan yang ditubuhkan pada tahun 1974 itu mempunyai kepakaran memindahkan gajah dan sehingga kini sudah memindahkan hampir 600 ekor sejak ia ditubuhkan.
Pemindahan ke bahagian timur Semenanjung Malaysia yang masih banyak dengan hutan tebal itu bukan sahaja terbukti berjaya mengurangkan konflik manusia dengan gajah tetapi, turut dapat mengekalkan populasinya.
Timur dan Cek Mek membantu


CEK MEK (kiri) dan Timur cuba menenangkan seekor gajah liar di tengah-tengah.


Pada minggu lalu, unit tersebut sekali lagi menjalankan projek pemindahan gajah liar iaitu dari Kota Tinggi, Johor ke Kuala Gandah, Pahang.
Ekspedisi selama 10 hari itu bermula dengan perjalanan sejauh dua kilometer ke dalam Hutan Simpan Lenggor yang mengambil masa enam jam serta berjaya mengesan kedudukan gajah.
Selepas empat hari cubaan menangkap menemui kegagalan, hampir 20 orang lagi ranjer hutan dan dua ekor gajah jinak yang diberi nama Timur dan Cek Mek datang bersama-sama membantu ekspedisi tersebut.
Proses untuk memindahkan gajah ke Kuala Gandah sejauh 400 kilometer bukan satu tugas mudah, gajah perlu diberikan sedatif terlebih dahulu untuk menenangkannya.
Kehadiran dua ekor gajah jinak pula sangat membantu apabila gajah liar itu kelihatan kurang agresif.
Dua ekor gajah jinak itu turut mengepalai perjalanan keluar gajah liar itu dari dalam hutan simpan supaya tidak ada sebarang tindakan ganas dengan menyerang ahli ekspedisi berlaku.
Memindahkan haiwan seberat 3,000 kilogram seekor bukan satu tugas mudah, renjer Perhilitan mengambil masa hampir dua jam untuk memastikan gajah-gajah selamat berada dalam trak.
Kuala Gandah


TEMBAKAN sedatif bagi menenangkan gajah liar supaya proses pemindahan berjalan lancar.


Perjalanan dari Kota Tinggi hingga Kuala Gandah memakan masa selama sembilan jam dan sepanjang laluan, orang ramai berpusu-pusu melihat, apabila mengetahui terdapat gajah di dalam trak.
Gajah-gajah itu selamat sampai pada pukul 1 pagi dan ia dipunggah keluar apabila subuh menyingsing.
Pusat Konservasi Gajah di Kuala Gandah, Lanchang, Pahang, ditubuhkan pada tahun 1989 dengan tujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai tentang ancaman yang dihadapi gajah.
Ia mula dikomersial dan dibuka kepada pengunjung luar sejak tahun 1997 dan tiada sebarang bayaran masuk dikenakan selain bertindak sebagai ibu pejabat Pasukan Pemindahan Semula Gajah.
Antara aktiviti yang terdapat di Pusat Konservasi itu adalah pengunjung berpeluang memegang serta merasai pengalaman menunggang gajah di sekitar kawasan pusat tersebut